MIDF Research semak naik unjuran pendapatan MMHE sebanyak 10%, 3% bagi FY23 dan FY24 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak naik unjuran pendapatan MMHE sebanyak 10%, 3% bagi FY23 dan FY24

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Selepas mengambil kira prestasi cemerlang Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) bagi 3QFY22, MIDF Research menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu sebanyak 10% dan 3% bagi FY23 dan FY24.

 

Firma itu berkata, prestasi MMHE akan kekal berdaya tahan sehingga hujung FY22 dengan mereka dijangka meraih lebih banyak peluang dalam segmen kejuruteraan berat bagi pasaran domestik dan serantau terutama dengan peningkatan permintaan gas asli cecair (LNG).

 

Katanya, kenaikan harga keluli dan musim sejuk yang lebih panjang akan memberi risiko kepada operasi dok keringnya.

 

"Kami kekal positif terhadap MMHE berdasarkan kunci kira-kira yang stabil selain aliran tunai yang sihat selain kontrak tertunggak yang kukuh selain projek berterusan pada masa hadapan.

 

"Kumpulan itu juga memberikan keutamaan dalam pengurusan kos yang berkesan selain penyampaian porjek yang cekap selain menggunakan pendekatan penyelesaian mampan sebagai sebahagian pencapaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 3QFY22 ialah RM15.95 juta berbanding kerugian bersih RM23.88 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Segmen kejuruteraan berat mencatatkan hasil sebanyak RM320.1 juta, menyumbang kepada peningkatan 5.1% tahun ke tahun dalam hasil keseluruhan kumpulan kepada RM409.2 juta.

 

Perubahan ketara dalam perniagaan marinnya berikutan aktiviti dok kering yang lebih tinggi sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April 2022.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 61 sen. - DagangNews.com