MIDF Research semak turun pendapatan F&N akibat penurunan keuntungan operasi di Thailand | DagangNews Skip to main content

MIDF Research semak turun pendapatan F&N akibat penurunan keuntungan operasi di Thailand

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - MIDF Research menyemak turun pendapatan Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) sebanyak 9.2% untuk FY22F dan 3.3% untuk FY23F selepas mengambil kira penurunan keuntungan operasi di Thailand.

 

Firma itu berkata, kenaikan harga bahan mentah di negara itu menyebabkan kumpulan itu tidak mampu melepaskan kenaikan kos itu kepada pengguna kerana produk yang dihasilkan berada dalam senarai harga kawalan kerajaan Thailand.

 

"Prestasi negatif kumpulan yang berpunca daripada kenaikan harga barang menjadi punca kelemahan jualan pasaran domestik untuk susu cair dan jualan eksport selain susut nilai Baht Thailand yang mengakibatkan pertukaram mata wang asing tidak menguntungkan.

 

"Keuntungan operasi merudum sebanyak 37.3% kepada RM200.9 juta bagi 9MFY22 akibat kenaikan harga barang utama daripada tin dan susu tepung yang menjejaskan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Keuntungan selepas cukai F&N untuk 9MFY22 adalah sebanyak RM265.1 juta dan ia tidak mencapai unjuran yang ditetapkan firma itu tetapi masih berada dalam unjuran konsensus.

 

Firma itu berkata, momentum jualan untuk sektor makanan dan minuman di Malaysia adalah RM626.8 juta (peningkatan 16%) dan ia didorong oleh peningkatan jualan semasa Hari Raya Aidilfitri dan pembukaan semula sempadan negara serta keberkesanan inisitiatif pemasaran. 

 

"Keuntungan operasi makanan dan minuman di Malaysia melonjak sebanyak 194% kepada RM50.4j.

 

"Ia disokong oleh margin yang lebih baik didorong oleh pelarasan harga kepada beberapa produk untuk mengurangkan kesan peningkatan mendadak dalam kos input dan kos pengangkutan yang lebih rendah disebabkan penggunaan ASRS (sistem perolehan storan automatik) di gudangnya," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM29.70. - DagangNews.com