KUALA LUMPUR 30 Ogos - MIDF Research menyemak turun unjuran pendapatan Al-`Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-Aqar REIT) bagi FY24 sebanyak 9.5% kesan daripada perbelanjaan yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan pendapatan Al-`Aqar dijangka stabil berikutan pembaharuan pajakan aset penjagaan kesihatannya dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2%.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang memperbaharui lima hartanah KPJ Healthcare Bhd sedia ada yang akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun.
"Pendapatan sewa daripada aset penjagaan kesihatan harus kekal stabil memandangkan sifat defensif industri penjagaan kesihatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, pendapatan bersih teras kumpulan itu pada 1HFY24 sebanyak RM31.7 juta berada di bawah jangkaan, membentuk 44% daripada ramalan tahun penuh.
Sisihan negatif itu disebabkan perbelanjaan amanah yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2QFY24.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bersih teras 2QFY24 lebih rendah pada RM15.3 juta disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi diterajui peningkatan dalam yuran profesional.
Katanya, pada asas tahunan, pendapatan bersih teras 2QFY24 sedikit berubah, menjadikan pendapatan bersih teras terkumpul 1HFY24 pada RM31.7 juta.
"Penurunan pendapatan adalah sejajar dengan hasil yang lebih rendah disebabkan pendapatan sewa yang lebih rendah daripada segmen di Australia manakala sumbangan daripada aset penjagaan kesihatan di Malaysia kekal berdaya tahan.
"Selain itu, penurunan pendapatan sebahagiannya disebabkan oleh yuran penyelenggaraan yang lebih tinggi untuk hartanah dan yuran profesional yang lebih tinggi," katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.29 sesaham. - DagangNews.com