KUALA LUMPUR 29 Jun - MIDF Research menyemak naik saranan 'beli' untuk Petronas Dagangan Berhad dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM23.88 selepas kumpulan itu menandatangani perjanjian tambahan untuk menjual stok dalam tangki simpanan di terminal bahan api terpilih kepada Petco Trading Labuan Co. Ltd. (PTLC).
Firma itu percaya, penjualan stok itu akan dapat memenuhi permintaan tempatan yang semakin bertambah untuk bahan api kesan daripada pemulihan dalam kebanyakan sektor ekonomi.
Katanya, penghapusan harga MOPS yang tidak menguntungkan pergerakan boleh mengimbangi semula harga bahan api menjadi lebih stabil terutama dalam keadan inflasi semakin meningkat dan kekurangan bekalan.
"Bagaimanapun tedapat risiko untuk langkah tersebut termasuk ketidakstabilan harga minyak mentah di pasaran global, gangguan bekalan serta kekurangan permintaan untuk bahan api.
"Walaubagaimanapun, kami tetap yakin dengan prestasi masa depan kumpulan itu terutama dalam keadan susana positif dalam sektor tenaga secara keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu Petronas Dagangan telah menandatangani perjanjian untuk menjual stok dalam tangki simpanan di terminal bahan api terpilih kepada PTLCL dengan harga RM132.93 juta.
PTLC ialah anak syarikat tidak langsung milik penuh Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Katanya, 14 terminal bahan api terpilih telah dikenal pasti untuk pelaksanaan model operasi baharu yang akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan produk dan kesediaan operasi.
Firma itu berkata, apabila transaksi selesai, PTLC akan mengambil alih pemilikan, serta menguruskan perancangan dan penghantaran untuk Petronas Dagangan di terminal yang disebutkan.
"Memandangkan transaksi ini adalah sebahagian daripada usaha Petronas Dagangan untuk menguruskan stoknya agar lebih cekap pada masa hadapan, kami berpendapat bahawa penjualan dan pemindahan stok tersebut akan membantu dalam mengurangkan kerugian.
"Transasksi ini bagaimanapun tidak memberi kesan kepada pendapatan sesaham Petronas Dagangan untuk FY22," katanya. - DagangNews.com