Minyak sawit mentah cecah paras tertinggi dalam empat bulan, jejak prestasi minyak soya | DagangNews Skip to main content

Minyak sawit mentah cecah paras tertinggi dalam empat bulan, jejak prestasi minyak soya

KUALA LUMPUR 8 Nov - Minyak sawit mentah (MSM) mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat bulan pada Isnin dan menjejaki kenaikan minyak soya selain jangkaan penghantaran kukuh daripada peladang kedua terbesar Malaysia, kata CGS-CIMB Futures Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata, harga penanda aras bagi kacang soya dan minyak soya melonjak pada Jumaat lepas yang dijangka dapat memacu permintaan selepas laporan mengenai China yang juga negara pengguna utama, berkemungkinan mengubah dasar sifar COVID-19.

 

"Minyak soya melonjak 7.5% pada minggu lepas manakala premiumnya berbanding minyak tropika turut mencecah paras tertinggi sekali gus mengukuhkan kedudukan sawit sebagai yang paling murah dalam kalangan minyak masak utama," katanya, lapor Bernama hari ini.

 

Dalam pada itu, kacang soya turut menyaksikan pengambil untung lebih rendah serta jualan teknikal dalam dagangan semalaman.

 

Firma itu berkata, import kacang soya China pada Oktober 2022 adalah terendah sejak Oktober 2014 yang dipercayai disebabkan oleh harga tinggi dan margin kejatuhan domestik yang suram.

 

Mengikut maklumat Pentadbiran Am Kastam China, sebanyak  4.14 juta tan dicatatkan yang merupakan penurunan sebanyak 19% bagi tahun ini dengan pembeliannya setakat akhir Oktober 2022 adalah 73.18 juta tan iaitu susut 7.4% berbanding 2021.

 

Beijing menegaskan akan terus mengekalkan dasar sifar COVID-19 yang akan hanya menjejaskan permintaan terhadap komoditi itu.

 

Bagaimanapun, permintaannya pada masa ini terbukti dengan jumlah pemeriksaan eksport mencecah 2.5 juta tan yang meningkat berbanding minggu lepas, terutamanya ke China dan Mexico. - DagangNews.com