KUALA LUMPUR 22 Sept - Lembaga Pengarah MNRB Holdings Berhad (MNRB) meluluskan pengagihan dividen akhir satu peringkat sebanyak 4.45 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).
Jumlah dividen itu meningkat dengan ketara sebanyak 78% berbanding tahun kewangan sebelumnya disokong oleh prestasi yang membanggakan di seluruh anak syarikat insurans semula dan takafulnya.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Zaharudin Daud berkata, kumpulan itu berjaya memenuhi tuntutan landskap operasi yang mencabar sepanjang tahun.
Beliau berkata, tumpuan mereka kami kekal pada daya tahan operasi bagi memastikan pertumbuhan hasil dan terus menjana pulangan yang kukuh kepada pemegang saham mereka.
"Kami telah mempamerkan prestasi berdaya tahan pada FY23 dan dividen yang diisytiharkan mencerminkan komitmen kami terhadap penciptaan nilai.
"Kami mengharapkan sokongan berterusan pemegang saham kami untuk tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu bagi FY23, kumpulan itu merekodkan untung bersih sebanyak RM119.8 juta berbanding RM114.4 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan sebanyak RM5.4 juta disebabkan peningkatas prestasi taja jamin dan peningkatan yuran wakalah di samping pendapatan pelaburan yang lebih tinggi dan pergerakan nilai saksama pelaburan yang menggalakkan tetapi telah diimbangi oleh kesan buruk daripada bahagian hasil syarikat bersekutu.
Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM3.7 bilion, meningkat 13.3% berbanding RM3.3 bilion yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.
PeningkatanRM400 juta itu secara amnya disumbangkan oleh premium/caruman kasar yang lebih tinggi yang dijana oleh anak-anak syarikat insurans semula dan takaful. - DagangNews.com