Moody's kekal penarafan kredit Malaysia, dengan unjuran stabil | DagangNews Skip to main content

Moody's kekal penarafan kredit Malaysia, dengan unjuran stabil

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Moody's Investors Service mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A3 stabil dengan unjuran stabil kerana ia menjangkakan pandemik COVID-19 tidak akan memberi kesan negatif kepada model ekonomi Malaysia.

 

Sehubungan itu, sebarang gelombang jangkitan pada masa ini dan seterusnya akan berterusan, namun, tidak menghalang ekonomi secara material untuk kembali meraih kadar pertumbuhan yang tinggi, kata agensi penarafan itu menerusi kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

“Rekod prestasi pihak berkuasa mengenai dasar makroekonomi yang efektif termasuk dasar fiskal yang berhemah kekal berlanjutan, di sebalik keriuhan yang melanda landskap politik," katanya.

 

Bagaimanapun, agensi itu berkata, tekanan meningkat kepada penarafan itu akan bertambah sekiranya prospek bagi penyatuan fiskal semakin baik terutama menerusi langkah memperluaskan asas perolehan yang sempit pada masa ini, menunjukkan penurunan beban hutang kerajaan yang berterusan dan penambahbaikan dalam kemampuan hutang.

 

Menurut Moody's, peningkatan selanjutnya terhadap rangka kerja institusi untuk meningkatkan piawaian tadbir urus dan bagi menghasilkan penambahbaikan kredibiliti dan keberkesanan, termasuk dasar pengurusan kewangan awam dan merangsang potensi pertumbuhan Malaysia turut menjadi kredit yang positif.

 

"Tekanan menurun terhadap penarafan ini akan berpunca daripada penurunan selanjutnya dalam metrik hutang kerajaan dan kapasiti hutang, peningkatan mendadak liabiliti luar jangka, dan/atau mengurangkan komitmen kepada penyatuan fiskal jangka sederhana yang menyebabkan penurunan berterusan bagi pengukuhan fiskal
kerajaan.

 

“Ketidakstabilan politik yang menjejaskan kredibiliti dan keberkesanan institusi, dan mengancam kestabilan aliran modal akan turut menjadi kredit yang negatif,” katanya.

 

Dalam konteks tidaktentuan untuk jangka panjang terhadap pola perdagangan global dan rantaian bekalan, Moody’s berkata, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang lemah, termasuk melalui pelaburan lebih rendah secara berstruktur, akan meningkatkan lagi tekanan menurun kepada penarafan itu. - DagangNews.com