Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Julai - Berdasarkan ramalan CGS-CIMB Research, bank-bank di bawah liputannya mungkin mencatatkan keuntungan bersih 6% lebih rendah pada tahun ini susulan kerugian pengubahsuaian yang perlu ditanggung akibat pelaksanaan moratorium automatik.
Bagaimanapun, ramalan itu dibuat berdasarkan senario kes terburuk, di mana pada suku kedua tahun lalu (2Q20), institusi perbankan di Malaysia menanggung kerugian pengubahsuaian bersih pinjaman berjumlah RM1.58 bilion.
“Berdasarkan pengetahuan kami, tiada satu pun bank yang menyediakan panduan ke atas kuantum kerugian pengubahsuaian yang tepat, tetapi kebanyakan mereka (bank) menjelaskan bahawa ia lebih rendah daripada 2Q20.
“Jadi, kami mengambil kira jumlah kerugian pengubahsuaian untuk bank-bank pada 2Q20 sebagai senario kes terburuk untuk tahun 2021,” jelas penganalisis di CGS-CIMB, Winson Ng dalam satu nota kajian.
Dalam Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kerajaan mengumumkan pelaksanaan moratorium secara menyeluruh untuk tempoh enam bulan.
Bagi pelaksanaan moratorium tahun lalu, Public Bank Berhad mencatatkan kerugian pengubahsuaian yang terbesar, iaitu RM498.4 juta, sementara terdapat kemasukan kira semula untuk Alliance Bank Malaysia Berhad kerana pendedahan terhad kumpulan terhadap pinjaman automatik (1.4% daripada jumlah pinjamannya).
Dalam unjuran CGS-CIMB untuk pelaksanaan moratorium tahun ini, Ng menjangkakan RHB Bank akan menerima impak terbesar dari segi keuntungan bersih kumpulan, terutamanya daripada pinjaman automatik dan pembiayaan peribadi.
Jelas Ng, beberapa bank di bawah liputannya memaklumkan bahawa mereka mungkin akan menanggung kerugian pengubahsuaian akibat moratorium pada 3Q21.
Salah satu daripadanya adalah BIMB Holdings Berhad di mana Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Mohd Muazzam Mohamed mendedahkan kepada The Edge bahawa bank itu berkemungkinan sekali lagi menyaksikan kerugian pengubahsuaian pada tahun ini.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa kerugian itu tidak seteruk yang ditanggung BIMB pada tahun lalu.
“Kerugian pengubahsuaian, sekiranya berlaku, akan dimasukkan sebagai kos bukan teras untuk bank-bank.
“Walaupun kami mengambil kira situasi terburuk itu dalam unjuran perolehan kami, namun kami masih mengunjurkan pemulihan dalam pertumbuhan keuntungan bersih kepada 2.9% untuk bank-bank pada 2021 berbanding penurunan 10.8% pada 2020, tidak termasuk pembayaran sekali gus oleh AMMB Holdings Berhad, di mana akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula ‘overweight’ terhadap sektor perbankan.
“Pilihan teratas kami adalah Public Bank, Hong Leong Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad (Maybank),” jelas Ng lanjut. - DagangNews.com