Moratorium : Saham perbankan didagangkan bercampur-campur | DagangNews Skip to main content

Moratorium : Saham perbankan didagangkan bercampur-campur

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 30 Jun - Kaunter-kaunter perbankan di Bursa Malaysia menunjukkan aliran bercampur-campur dalam dagangan pagi ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam.

 

Beliau berkata, bank-bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun dan caj penalti lewat bayaran bagi moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

Malah, peminjam juga boleh membuat laporan serta aduan sekiranya pihak bank bertindak menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti (ke atas moratorium itu).

 

Ini susulan daripada pengumuman pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, usahawan mikro mahupun perusahaan kecil dan sederhana mulai 7 Julai ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada hilang pekerjaan dan dokumen perlu dikemukakan untuk permohonan moratorium kerana kelulusan akan diberikan secara automatik. 

 

Setakat 10.35 pagi ini, saham Public Bank Bhd. susut 0.48 peratus kepada RM4.13 sesaham manakala Hong Leong Bank Bhd. juga susut 0.21 peratus kepada RM18.8 sesaham.

 

Bagaimanapun, saham CIMB Holdings Bhd. pula, menokok 0.22 peratus kepada RM4.22 diikuti BIMB Holdings Bhd. naik 0.78 peratus kepada RM3.87 dan RHB Bank Bhd., naik 0.74 peratus kepada RM5.41.

 

Bagi saham Maybank pula setakat 10.41 pagi ini kekal tidak berubah pada RM8.13, begitu juga AMMB Holdings Bhd. kekal tidak berubah pada RM2.92.

 

Sementara itu, dalam nota kajian, penganalisis Maybank Investment Bank (IB) Research, Desmond Ch’ng berkata, pengumuman mengenai moratorium dijangka memberi kesan negatif ke atas saham-saham perbankan dalam tempoh sederhana. 

 

Ini kerana katanya, ia mengambil kira ketidaktentuan pendapatan yang disebabkan oleh rugi-ubah. 

 

"Namun begitu, kami mengandaikan, jika rugi-ubah ini menyamai kuantum yang sama pada tahun lalu, kesan ke atas pendapatan adalah terurus pada kadar sifar hingga enam peratus bagi kebanyakan bank," katanya. 

 

Moratorium pada 2020 mengakibatkan rugi-ubah berjumlah RM1.35 bilion untuk bank-bank di bawah liputan firma berkenaan.

 

Berdasarkan anggaran firma itu, bank yang kurang terkesan dari segi pendapatan berikutan langkah moratorium ini ialah Alliance Bank Malaysia manakala bank yang dijangka terjejas ialah RHB Bank Bhd.

 

Ch’ng berkata, jika dibuat perbandingan dengan pemberian moratorium tahun lalu (Mac hingga September), peminjam perlu memohon penangguhan kali ini dan mungkin juga harus menandatangani syarat-syarat yang disemak semula dalam perjanjian pinjaman.

 

"Moratorium kali pertama lalu diberi kepada semua peminjam tetapi mereka mempunyai pilihan untuk mengambilnya atau tidak. 

 

"Namun, di bawah Pemulih, ia memerlukan peminjam memohon kepada bank yang mana proses kelulusannya, dijangka lebih dipermudahkan," katanya.

 

Bagaimanapun, Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' ke atas sektor perbankan dengan saranan 'beli' bagi saham CIMB dengan harga sasaran (TP), RM4.90 diikuti BIMB Holdings Bhd (TP: RM4.75), Hong Leong (TP: RM20.90), RHB (TP: RM6.30) dan AMMB (TP: RM2.90). - DagangNews.com