Moratorium: Tengku Zafrul kata "Jangan guna belantan hanya untuk memukul nyamuk di badan" | DagangNews Skip to main content

Moratorium: Tengku Zafrul kata "Jangan guna belantan hanya untuk memukul nyamuk di badan"

Oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
M
enteri Kewangan Malaysia

 

KINI, kita berada dalam PKP 3.0, sudah kedengaran desakan dari beberapa pihak untuk mengembalikan semula moratorium pinjaman secara automatik seperti yang berlaku sewaktu PKP 1.0 pada tahun lalu.

 

Kita imbas kembali peristiwa tahun lalu semasa PKP 1.0 mula dilaksanakan. Pada waktu itu, masih banyak yang dunia tidak fahami tentang virus Covid-19 ini dan usaha melahirkan vaksin juga masih jauh dari menampakkan hasil.

 

Setiap negara di dunia bergelut dengan permasalahan mengawal penularan Covid-19 dalam sempadan masing-masing. Dalam persekitaran global yang penuh ketidaktentuan ini, kerajaan telah mengumumkan pakej Prihatin.

 

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan telah mencapai kata sepakat untuk memberikan moratorium automatik selama enam bulan secara pukal kepada semua peminjam.

 

Semua lapisan rakyat dan perniagaan mendapat kemudahan ini, dari golongan B40, M40 dan T20 hingga ke PKS dan syarikat gergasi.

 

Bagi golongan yang berada atau kelompok lingkungan elit, disebabkan mereka tidak perlu membayar pinjaman-pinjaman mereka yang bernilai besar - golongan ini telah menikmati lebihan wang seakan ‘durian runtuh’.

 

Pada masa yang sama, ada juga syarikat yang mencatatkan peningkatan pendapatan bersih tahun itu.

 

Apabila tempoh moratorium secara pukal ini berakhir pada September 2020, lebih kurang 85% peminjam telah menyambung kembali pembayaran ansuran mereka. Ini sesuatu yang terpuji, menunjukkan komitmen rakyat kita membayar hutang tetapi lebih penting dari itu, ia juga menunjukkan kemampuan mereka menjelaskan ansuran pinjaman.

 

Sejak itu, sektor perbankan telah mengambil pendekatan strategik dengan kemudahan bantuan pembayaran pinjaman kepada 15% peminjam yang masih menghadapi kesukaran membayar.

 

Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2021 oleh kerajaan, pihak bank pula telah memberi pilihan kemudahan kepada kelompok ini: sama ada mendapat kemudahan moratorium selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan mereka sebanyak 50% untuk enam bulan.

 

Kemudahan ini telah diteruskan melalui Pakej Permai, Pemerkasa dan Pemerkasa+. Bantuan-bantuan lain turut diberikan berdasarkan kedudukan kewangan peminjam.

 

Sebanyak 80% peminjam tidak perlu moratorium pukal: Menteri Kewangan

'Saya lebih rela salur kos pampasan moratorium pukal untuk bantu rakyat'

 

Hari ini, negara sedang melalui PKP 3.0, dalam usaha menangani tekanan baru kepada ekonomi dan kesihatan awam.

 

Bezanya dengan PKP tahun lalu, kita sekarang lebih memahami virus ini, dan banyak pihak dapat pantas berhijrah ke norma baru, dengan majikan dan syarikat mula melaksanakan BDR dalam kalangan pekerja, dan golongan peniaga semakin memanfaatkan platform e-dagang.

 

Walaupun rata-rata kadar jangkitan lebih tinggi dari tahun lalu, program vaksinasi kebangsaan telah dipercepatkan dan kita dijangka mampu mencapai pemberian 150,000 dos vaksin sehari di penghujung Jun. Ini akan meletakkan negara kukuh atas landasan ke arah mencapai imuniti berkelompok pada penghujung 2021.

 

Pada masa yang sama, kerajaan telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM200 bilion, memanfaatkan 20 juta rakyat Malaysia dan 2.4 juta perniagaan.

 

KDNK untuk Mac 2021 menunjukkan pertumbuhan 6%, menandakan pemulihan ekonomi yang baik.

 

Pakej Pemerkasa+ yang bernilai RM40 bilion yang baru diumumkan tiba di saat kita masih giat melaksanakan inisiatif-inisiatif daripada Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.

 

Buat masa ini juga, masih ada inisiatif bernilai lebih dari RM100 bilion dari pakej-pakej bantuan lalu yang masih berjalan menyokong rakyat, perniagaan dan ekonomi.

 

Untuk peminjam, sektor perbankan menawarkan kemudahan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman buat individu (B40, M40 dan T20); B40 yang menerima Bantuan Prihatin Rakyat, PKS mikro dengan pembiayaan sehingga RM150,000; dan juga PKS yang terjejas kerana berada dalam sektor yang ditutup sewaktu PKP 3.0.

 

Kesemua mereka ini boleh memilih untuk mendapat moratorium pinjaman selama 3 bulan atau pengurangan 50% atas bayaran balik pinjaman selama 6 bulan.

 

Bantuan Bayaran Balik Pinjaman juga ditawarkan kepada golongan M40 dan T20 yang menghadapi pengurangan pendapatan.

 

Dalam hal ini, peminjam yang terjejas boleh memohon untuk kemudahan yang diperlukan dan kelulusan akan diberikan oleh pihak bank secara automatik. Pihak bank telah melahirkan komitmen untuk tidak menolak mana-mana peminjam yang terjejas dalam tempoh sukar ini.

 

Memandangkan setiap peminjam individu atau syarikat yang benar-benar terjejas berpeluang mendapat bantuan, dan mereka yang mampu juga sudah meneruskan pembayaran balik pinjaman mereka - adakah masih perlu diadakan moratorium secara pukal? Harus juga dipertimbangkan yang setiap sumber yang ada dalam negara kini perlu dimanfaatkan sebaiknya.

 

Perang melawan COVID-19 ini bukanlah satu pecutan, tetapi lebih mirip satu maraton.

 

Kenapa pula kita mahu menggunakan semua sumber yang ada, lebih daripada yang diperlukan, jika perjuangan kita mungkin masih jauh dan ada cabaran lain mungkin menanti di pertengahan jalan. Sekalipun kita boleh, wajarkah?

 

Baru-baru ini, ada pihak media memetik saya berkata ‘kerajaan tidak boleh memaksa pihak bank untuk memberi moratorium pukal’. Sebenarnya, saya dipetik berkata begitu di luar konteks oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Namun untuk menjelaskan, mengikut Akta Bank Pusat Malaysia 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa mengarahkan bank untuk memberi moratorium automatik.

 

Tambahan pula, di bawah Ordinan Darurat 2021, sebarang rang undang-undang baru perlu mendapat kelulusan kabinet sebelum diangkat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

 

Seksyen 4 Ordinan Darurat memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil alih dan menggembleng apa juga sumber yang diperlukan untuk kepentingan negara, tetapi Seksyen 5 juga jelas menyatakan jika kerajaan menggunakan kuasa itu, pampasan harus diberikan kepada pihak yang memiliki sumber tersebut. Dalam erti kata lain, masih ada kos yang akan ditanggung kerajaan.

 

Sekalipun kita boleh melakukan sesuatu, ia tidak bermaksud kita wajar melakukannya. Memaksa pihak bank melakukan moratorium secara pukal pada waktu ini bermakna kerajaan mungkin akan menanggung kos pampasan untuk sesuatu yang jelas tidak diperlukan sama sekali.

 

Ini bukanlah pengurusan sumber yang cekap, sementelah kita dalam satu peperangan yang mungkin berlarutan dengan musuh yang boleh bermutasi di luar jangkaan sesiapa. Saya lebih rela menyalurkan sumber ini untuk membantu rakyat dan perniagaan yang lebih memerlukannya.

 

Bayangkan, jika kerajaan semberono melaksanakan dasar yang populis dan memaksa komuniti perniagaan melakukan apa sahaja kemahuan kerajaan, bagaimana agaknya reaksi daripada pelabur? Pastinya ramai yang akan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran negara.

 

Peraturan undang-undang adalah penting untuk membina asas dan membangunkan pasaran yang stabil supaya lebih ramai pihak berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan membina kekayaan dan kemakmuran.

 

Menggunakan kuasa darurat dengan membabi-buta boleh mengakibatkan perubahan dan pembatalan kontrak berlaku di luar kawalan. Kegagalan menepati perjanjian antara pihak yang berurusan pasti akan meninggalkan kesan berpanjangan terhadap masa depan pelaburan dan perniagaan dalam negara.

 

Semua ini juga boleh memudarat pasaran modal, mencetuskan pengaliran keluar dana yang boleh mengakibatkan kejatuhan mendadak nilai ringgit. Ini akan mengakibatkan peningkatan kos perniagaan dan faktor-faktor ini secara keseluruhannya akan mengakibatkan kesan jangka panjang yang serius. Sudahlah kita terpaksa menangani krisis kesihatan awam dan ekonomi, mengapa pula perlu dibebankan lagi dengan krisis perbankan dan kewangan?

 

Adalah tidak wajar mahupun bertanggungjawab bagi pihak kerajaan menanggung semua risiko ini demi memberi moratorium pukal untuk setiap peminjam, lebih-lebih lagi apabila kita tahu yang lebih 80% peminjam tidak memerlukannya dan pihak bank sudahpun menyediakan bantuan bayaran balik bersasar kepada peminjam yang benar-benar memerlukan kelegaan ini.

 

Siapa sebenarnya pemilik bank?

Kerajaan melalui BNM bertindak mengawal selia dan memantau sektor perbankan seperti yang termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), akta-akta yang digubal untuk menyokong kestabilan sektor kewangan, satu sektor yang menjadi penjana utama ekonomi negara.

 

Dakwaan yang mengatakan BNM atau kerajaan boleh sewenang-wenangnya mengarahkan pihak bank untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman atau menyusun semula pinjaman adalah bertentangan dengan intipati akta-akta ini.

 

Seperkara lagi yang jarang diperkatakan umum adalah tentang pemilikan bank. Siapa sebenarnya pemilik bank-bank di negara? Tentunya, pemegang saham bank tersebut - tetapi siapakah pemegang saham yang dimaksudkan di sini?

 

Antara pemegang saham terbesar dalam sektor perbankan Malaysia adalah institusi seperti KWSP, PNB, KWAP, Perkeso, Lembaga Tabung Haji, syarikat insurans dan firma pengurusan dana.

 

Mari kita kaji siapakah yang diwakili institusi-institusi ini:

KWSP menguruskan dana persaraan anda, saya dan berjuta ahli yang mencarum: semua rakyat yang makan gaji diwajibkan bawah undang-undang untuk mencarum ke KWSP untuk persaraan mereka.

 

PNB pula adalah pengurus dana unit amanah seperti ASB, ASM, ASW dan lain-lain, di mana pelabur-pelaburnya adalah rakyat seperti anda dan saya. KWAP adalah dana persaraan penjawat awam. Perkeso seperti yang ramai sedia maklum menguruskan dana keselamatan sosial ahli-ahlinya, yang merangkumi sebahagian besar tenaga kerja negara.

 

Tabung Haji menguruskan simpanan rakyat beragama Islam sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah haji. Syarikat insurans dan firma pengurusan dana pula mengumpul premium atau langganan dari rakyat dan syarikat-syarikat serta melaburkan dana ini, antara lainnya, di dalam bank-bank.

 

Pada tahun 2020 sahaja, dari segi dividen, KWSP menerima sekitar RM298 juta dari Kumpulan RHB; manakala PNB menikmati sekitar RM1.3 bilion dari Kumpulan Maybank. Jika pihak bank mendapat keuntungan yang rendah, ia akan mengakibatkan pulangan pelaburan yang rendah untuk diagihkan kepada ahli-ahli KWSP dan PNB.

 

Dalam erti kata lain, ‘pemilik bank’ boleh dikatakan adalah rakyat sendiri menerusi perantaraan institusi seperti EPF dan PNB. Akhirnya, rakyat sendiri yang akan mendapat dividen yang rendah dari KWSP, ASB, Tabung Haji dan lain-lain jika pihak bank kerugian disebabkan sesuatu moratorium pukal.

 

Justeru, moratorium pukal sebagai penyelesaian kepada cabaran yang kita hadapi hari ini adalah suatu langkah yang tidak wajar, penyelesaian yang terlampau dan perbuatan yang akan merugikan kita sendiri. Ini ibarat pepatah Melayu: marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

 

Kita juga harus fahami yang aktiviti perbankan melibatkan penggunaan deposit yang kemudian dipinjamkan kepada peminjam. Siapakah pendeposit yang dimaksudkan?

 

Pendeposit adalah rakyat dan perniagaan yang menyimpan wang mereka di bank supaya ia selamat dan dilindungi. Moratorium secara pukal atau automatik bermaksud bank tidak akan menerima bayaran balik pinjaman untuk dipinjamkan ke pihak lain; namun, masih wajib membayar keuntungan kepada pendeposit.

 

Ini menggugat kitaran wang dan menunda manfaat ekonomi yang sepatutnya terjana daripada pergerakan modal. Dengan memastikan bantuan diberi hanya kepada mereka yang memerlukan, Kerajaan dan BNM bukan sahaja melindungi pendeposit, pemegang saham dan peminjam, malah juga memastikan modal dalam ekosistem pasaran kewangan digunakan dengan cekap demi pertumbuhan ekonomi berterusan. Ini adalah situasi menang-menang bagi semua pihak.

 

Sebagai penutup, kuasa yang terkandung dalam CBA dan FSA mestilah digunakan oleh kerajaan melalui BNM dengan berhati-hati dan bijaksana. Ini perlu dilakukan selaras dengan intipati dan matlamat yang termaktub dalam undang-undang, iaitu termasuk melindungi golongan pendeposit, dan juga menjamin kestabilan dan keutuhan sistem kewangan negara.

 

Selaku Menteri Kewangan, saya bertanggungjawab untuk tidak membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sempit dan kepentingan sementara, semata-mata untuk memenuhi agenda populis.

 

Kita perlu lakukan apa yang terbaik, demi kelangsungan ekonomi dan manfaat jangka panjang negara. – DagangNews.com