MPI perlukan capex RM500 juta setahun capai Visi 2027 kumpulan - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

MPI perlukan capex RM500 juta setahun capai Visi 2027 kumpulan - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Syarikat semikonduktor dan komponen elektrik, Malaysian Pacific Industries Berhad (MPI) mungkin memerlukan purata perbelanjaan modal (capex) sekitar RM500 juta setahun untuk menjadikan Visi 2027 kumpulan sebuah kenyataan.

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, MPI merancang untuk membiayai strategi visi tersebut menerusi dana dalaman dan aliran tunai yang sedia ada. 

 

“Dalam taklimat kumpulan, pihak pengurusannya berkongsikan strategi Visi 2027 memandangkan kumpulan berhasrat untuk mencapai jualan AS$1.4 bilion (sekitar RM5.82 bilion) menjelang tahun kewangan 2027 (FY27), dipacu oleh pelan pengembangan kapasiti baharu di China, Malaysia dan kilang khas baharu untuk pelanggan utama bagi aplikasi silikon karbida (SiC) di Amerika Syarikat (AS).

 

“Dalam pada itu, kumpulan juga menyasarkan untuk mencapai lebih 50% sumbangan jualan daripada segmen automotif menjelang FY27, daripada 33% pada FY21. 

 

“Kami positif terhadap pengumuman ini kerana ia mencerminkan perolehan yang jelas dan berjangka panjang buat kumpulan. MPI menjangkakan AS$1.4 bilion sasaran jualan menunjukkan 20% kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) jualan dolar AS (AS$) bagi FY21 hingga FY27, di mana empat kali lebih tinggi daripada sejarah jualan AS$ FY16 hingga FY21 pada CAGR 5%,” jelas Mohd Shanaz dalam satu nota kajian.

 

Di bawah Visi 2027, kumpulan berhasrat untuk membina tiga kilang pembuatan baharu, masing-masing di Malaysia, China dan AS. 

 

Kilang pertama akan menyediakan tambahan ruang lantai 70 kaki persegi (sq ft) di Ipoh, dan dijangka dapat dibina apabila sekatan pergerakan ditamatkan. 

 

Dalam pada itu, MPI juga sedang meneroka perolehan tanah baharu di China untuk menubuhkan kilang keduanya dengan anggaran jumlah ruang lantai pengeluaran lebih 1 juta sq ft. 

 

Kumpulan menyasarkan untuk melengkapkan pengambilalihan tanah tersebut menjelang penghujung 2021 dan memulakan pembinaan pada tahun hadapan, sementara sasaran pra pengeluaran dijangka seawal 2023.

 

Pada suku keempat FY21 (4QFY21), MPI dilaporkan mencatat 53% pertumbuhan dalam keuntungan bersihnya kepada RM75.10 juta berbanding RM49.05 juta yang dicatatkan tempoh sama pada tahun lalu.

 

Ini terutamanya dipacu oleh strategi pengurusan kos dan sumbangan hasil lebih tinggi daripada semua segmen, berjumlah RM537.34 juta berbanding RM405.45 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi prestasi sepanjang tahun, kumpulan menyaksikan keuntungan bersihnya menokok 78% kepada RM271.82 juta daripada RM152.99 juta. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham MPI dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM51.50 sesaham. - DagangNews.com