MR. D.I.Y tawar diskaun hingga 25% sempena Hari Malaysia | DagangNews Skip to main content

MR. D.I.Y tawar diskaun hingga 25% sempena Hari Malaysia

MR. D.I.Y

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, MR. D.I.Y menawarkan diskaun harga hingga 25% bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

Naib Presiden Pemasarannya, Andy Chin berkata, inisiatif melalui kempen 'Proudly Made in Malaysia' itu memberi diskaun untuk lebih 30 produk tempatan terpilih di semua cawangannya seluruh negara.

"MR. D.I.Y sentiasa berusaha untuk menyokong rakyat Malaysia dengan memenuhi janji kami untuk menyediakan produk berkualiti kepada pengguna pada 'Harga Sentiasa Rendah'.

"Kempen penjenamaan terbaharu kami iaitu 'Kita Jaga Harga Kita-Termurah Demi Rakyat Malaysia' mencerminkan komitmen kami untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Kempen 'Proudly Made in Malaysia' akan diadakan bermula 1 hingga 30 September 2020.

Rangkaian produk buatan Malaysia merangkumi botol air, bekas minuman, keluli tahan karat, mop, penyapu, tong sampah, produk penjagaan kereta dan pelbagai lagi.

Dari segi jenama tempatan Malaysia yang diberi diskaun harga tersebut adalah Elianware, LAVA, Felton, WAXCO, RAYACO dan MR. D.I.Y.

Tambah beliau, kempen yang dijalankan itu juga adalah salah satu inisiatif MR. D.I.Y dalam usaha menyokong 'Kempen Beli Barangan Malaysia' yang diumumkan kerajaan.

Selain itu, ia juga sebagai galakan kepada rakyat Malaysia untuk membeli barangan tempatan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kami berharap agar kempen ini juga akan memberi inspirasi kepada pengeluar, pengedar dan peruncit tempatan untuk turut sama menyokong jenama, produk dan perkhidmatan tempatan," tambahnya lagi. - DagangNews.com