MSB Global Group failkan permohonan IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pembinaan semula kilang | DagangNews Skip to main content

MSB Global Group failkan permohonan IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi pembinaan semula kilang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pengedar alat ganti yang berpangkalan di Johor, MSB Global Group Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membina semula kilang yang berfungsi sebagai gudang.

 

IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam 133 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 74 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian, kata MSB Global dalam draf prospektus itu. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian menawarkan pelabur sehingga 34% kepentingan dalam syarikat itu.

 

Kilang merangkap gudang baharu itu, terletak di Ulu Tiram di Johor, dijangka mempunyai anggaran keluasan binaan kira-kira 79,905 kaki persegi di tanah milik Pengarah Urusan MSB Global, Datuk Ow Kee Foo, kata syarikat itu.

 

"Kami berhasrat membina semula dan membaik pulih bangunan untuk menempatkan kilang kami sendiri, menghasilkan pelincir dan cecair automotif menggunakan pengisar dan barisan pengeluaran isian dan kemasan automatik, bersama-sama dengan gudang untuk menyimpan pelincir automotif jenama kami sendiri," kata syarikat itu.

 

MSB Global sebahagian besarnya menjual semula bahagian dan komponen automotif selepas pasaran, seperti aci pemacu dan pam bahan api, yang menjana lebih dua pertiga daripada hasil tahunannya. Selebihnya datang daripada pemasaran dan pengedaran pelincir dan cecair automotif, termasuk minyak enjin.

 

Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, syarikat itu memperoleh untung bersih sebanyak RM8.26 juta daripada hasil RM63.87 juta, daripada jualan kepada lebih 200 pelanggan.

 

Di bawah terbitan awam, syarikat memperuntukkan 30.5 juta saham baharu kepada orang awam Malaysia dan 6.1 juta saham kepada orang yang layak. 

 

Syarikat itu juga memperuntukkan 76.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan dan baki 20.15 juta saham untuk pelabur terpilih, kedua-duanya melalui penempatan persendirian.

 

Hasil daripada penjualan saham baharu juga akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan baharu, dan perbelanjaan lain untuk pentauliahan adunan baharunya, serta barisan pengeluaran isi dan kemasan bagi perniagaan pelincir serta cecair automotif.

 

Kapasiti maksimum produk siap yang boleh dihasilkan daripada pengadunan baharu, serta barisan pengeluaran isi dan kemasan ialah 8.55 juta liter setahun, katanya.

 

M & A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com