IPOH 14 Nov - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat membaca manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semua parti yang bertanding untuk memahami dan membuat pilihan.
Katanya, beliau yakin manifesto yang ditawarkan oleh PN bersifat realistik, memenuhi keperluan semua peringkat serta boleh dilaksanakan.
"Rakyat kena baca manifesto PN. Apa yang Barisan Nasional tawar dan apa Pakatan Harapan tawarkan. Apa Anwar tawar, buat perbandingan.
"Saya dah dapat komen-komen daripada pihak penilai ketiga yang menyatakan tawaran PN adalah terbaik, yang realistik, inklusif dan boleh memberikan kestabilan serta kemakmuran pada negara.
"Saya boleh menawarkan bulan, matahari dan cakrawala tapi saya tak buat begitu. Ini (manifesto) realistik yang dibuat oleh sekumpulan pakar ekonomi untuk menawarkan banyak pada rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Jelajah PN Best Tambun di Pusat Perniagaan Meru Impian di sini malam tadi.
Turut hadir calon PN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan kepimpinan PN negeri Perak.
Muhyiddin memberikan satu contoh manifesto PN iaitu menawarkan satu juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak-anak muda dalam tempoh lima tahun.
Jelasnya, untuk melaksanakan itu kerajaan perlu menarik pelaburan berteknologi tinggi bernilai besar agar dapat menawarkan jenis pekerjaan berpendapatan besar.
"Dalam tempoh 17 bulan semasa saya menjadi Perdana Menteri kita telah lahirkan 530,000 peluang kerja, jadi perkara ini boleh dilaksanakan.
"Cadangan lain ialah penyediaan tempat tinggal 'micro housing ' untuk anak-anak muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan di bandar dengan sewa berpatutan," ujarnya.
Pada 6 November lepas, PN melancarkan manifesto PRU15 yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ atau PN BEST.
Ia merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan serta 234 tawaran dan tunjang pertama itu ialah membina ekonomi masa hadapan. - DagangNews.com