MyCC giat siasat penipuan bidaan projek kerajaan | DagangNews Skip to main content

MyCC giat siasat penipuan bidaan projek kerajaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini giat menjalankan siasatan terhadap kes penipuan bidaan melibatkan perolehan dalam projek-projek kerajaan. 

Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd. Hishamuddin Md. Yunus berkata, pihaknya amat memandang serius terhadap perkara ini memandangkan ia satu kerugian besar kepada pendapatan negara. 
 

aaa
Mohd. Hishamuddin Md. Yunus


“Kami sedang bekerja keras dengan beberapa agensi bagi menangani perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kajian Semula Pasaran di bawah Akta Persaingan 2010 bagi Sektor Perkhidmatan (Borong dan Runcit untuk Produk Terpilih) hari ini. 

Minggu lalu, dalam sesi Kamar Khas di Parlimen, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 600 syarikat disiasat membabitkan kes penipuan bida membabitkan nilai tender berjumlah RM5.9 bilion.

Isu penipuan bida ini menjadi tumpuan utama MyCC kerana setiap tahun Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan badan berkanun memperoleh barangan dan perkhidmatan melalui tender awam bernilai lebih RM150 bilion.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai rancangan kerajaan bagi membendung masalah penipuan bida, rancangan kerajaan untuk memperkasa peranan MyCC dan dakwaan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kononnya wujud kartel tender oleh kontraktor pembinaan. – DagangNews.com