KUALA LUMPUR 13 Sept - MyEG Services Berhad menafikan dakwaan bahawa mereka mengenakan bayaran secara haram bagi perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing.
Kumpulan itu berkata, perkhidmatan yang tersedia di platform dalam talian mereka adalah mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
“Lembaga pengearah ingin menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-Pakatan Harapan) adalah pendapat beliau sendiri,” kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Terdahulu, di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kota Melaka dilaporkan mendakwa bahawa kontrak perkhidmatan MyEG dengan Jabatan Imigresen telah digantung sejak Februari, tetapi syarikat itu masih menerima bayaran untuk perkhidmatan itu melalui laman webnya.
“Sebagai contoh, jika sebuah kilang mempunyai 10 pekerja, dan mereka menggunakan perkhidmatan dalam talian bagi membayar RM2,000 seorang, mereka telah membayar MyEG RM20,000.
“Selepas itu, mereka menunggu dan apabila permit tidak sampai, mereka pergi ke Jabatan Imigresen, yang memaklumkan bahawa MyEG telah digantung sementara, dan majikan mereka perlu membayar RM20,000 lagi untuk memperbaharui permit pekerja.
"Mereka sudah membayar RM20,000 kepada MyEG, tetapi MyEG tidak membayar balik, mereka diminta menunjukkan bukti bahawa mereka telah membayar dan memperbaharui permit dengan Jabatan Imigresen," kata Ahli Pelrimen Kota Melaka itu.
MyEG berkata, pada Julai lalu, kumpulan itu telah menerima surat pemberitahuan daripada Kementerian Kewangan, yang bersetuju untuk melanjutkan kontrak mereka.
Pada masa itu, MyEG berkata syarat lanjutan "akan dimuktamadkan menurut perbincangan lanjut dengan kerajaan pada masa akan datang".
Katanya, perjanjian rasmi untuk lanjutan itu "akan ditandatangani pada peringkat kemudian" tetapi tiada sebarnag perkembangan mengenai perkara itu.
Dagangan sekuriti MyEG dihentikan dari 9 pagi hingga 10 pagi pada hari Rabu.- DagangNews.com