Nanas : Ada peluang pasaran besar, manfaatkanlah | DagangNews Skip to main content

Nanas : Ada peluang pasaran besar, manfaatkanlah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Percaya atau tidak, Malaysia pernah menerajui industri tanaman nanas, menduduki tangga ketiga sebagai pengeksport utama buah nanas yang ditinkan, sekitar awal 70-an.

 

Namun, ketika industri pertanian lain terutamanya getah dan minyak sawit merekodkan momentum pertumbuhan yang luar biasa, tanaman nanas di negara ini tidak mampu ‘mengejar’ lonjakan itu. 

 

Keupayaan tanaman itu untuk kekal berdaya saing kian menyusut, seterusnya ketinggalan daripada industri-industri pertanian lain.

 

Jika dilihat pada trend pengeluaran nanas Malaysia sejak 2014, jumlahnya menyusut mendadak kepada 335,725 tan metrik pada 2015, sebelum menunjukkan peningkatan sehingga 2017, namun menyusut semula pada tahun 2018. 

 

Trend
Sumber : Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia

 

Ketika pasaran nanas menyaksikan permintaan yang tinggi, pengeluaran hasil tanamannya oleh Malaysia pula masih belum mencukupi.

 

Apatah lagi, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mengakui jumlah tanaman nanas terutamanya MD2 masih kurang penghasilannya, sedangkan permintaan di pasaran amat tinggi.

 

Pengerusi LPNM, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kapasti negara untuk mengeluarkan nanas ialah 4,000 tan metrik dengan nilai lebih RM500 juta setahun. 

 

Walaupun begitu, jumlah tersebut masih belum mencukupi bukan sahaja untuk pasaran nanas MD2 di luar negara, bahkan bagi pasaran tempatan.

 

Hakikatnya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi pengeksport industri tanaman nanas yang berdaya saing di dunia, seperti mana sektor sawit yang kini meletakkan kedudukan negara sebagai pengeksport kedua terbesar global. 

 

Negara ini mempunyai lebih 100 tahun pengalaman dalam sektor penanaman nanas, layaklah Malaysia memiliki kelebihan kompetitif di pasaran antarabangsa, terutamanya dari aspek kualiti dan produktiviti. 

 

Dalam Pelan Perancangan Industri Nanas Negara 2019 hingga 2025, dari konteks keluasan tanaman nanas dunia, tahun 2016 telah meletakkan Malaysia di kedudukan Ke-18 daripada 89 buah negara pengeluar nanas.

 

nanas
Sumber : Facebook LPNM

 

Jumlah keluasan tanaman nanas dunia yang utama ialah Nigeria (18%), India (11%), Thailand (7%), China (7%), Brazil (7%), manakala Malaysia merekodkan jumlah keluasan iaitu 13,149 hektar dengan jumlah pengeluaran nanas sebanyak 391,714 tan metrik iaitu 1.2% daripada jumlah pengeluaran nanas dunia. 

 

Pada tahun 2017, Malaysia tersenarai sebagai negara pengeksport nanas segar ke-21 terpenting dunia, manakala di rantau Asia kedudukan Malaysia ialah yang kedua terpenting selepas Filipina. 

 

Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai daya saing dalam pengeluaran dan pengeksportan nanas segar berbanding negara-negara pesaing di rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia, menurut pelan itu.

 

Tidak mustahil untuk Malaysia memegang ‘kedudukan’ pengeksport nanas terbesar dunia, melihatkan sumber dan inisiatif yang sedia ada, cukup memberikan ‘keselesaan’ kepada pemain industri. 

 

Pokok pangkalnya, mewujudkan usahawan tani yang berdaya saing memainkan peranan utama dalam memastikan peningkatan yang lebih tinggi di dalam rantaian nilai seterusnya menyumbang kepada sektor pertanian negara termasuk tanaman nanas. 

 

Malaysia perlu melenyapkan stigma petani yang masih lagi dianggap kerjaya remeh, yang sebaliknya menyalurkan hasil ekonomi kukuh buat negara. 

 

Malah, ketika ekonomi tidak menentu akibat pandemik COVID-19, peralihan sebagai usahawan tani sepatutnya menjadi peluang keemasan buat anak muda bagi mengurangkan jumlah pengangguran.

 

Buktinya, seorang pengusaha tanaman nanas jenis MD2 di Kampung Parit Selangor, Pontian mendedahkan pasaran nanasnya tidak terjejas susulan penularan wabak COVID-19.

 

Menurut laporan Berita Harian, Sadikon Sadiman, 67, berkata permintaan nanas menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp kini semakin meningkat.

 

Seiring hasrat LPNM untuk menambah baik teknologi tanaman nanas, kelebihan aspek digital dan penjualan dalam talian merupakan kaedah terbaik untuk mengangkat industri itu lebih jauh, malah membawa pemain industri ke persada global.

 

Untuk rekod, sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi menyumbang RM85.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020. 

 

Pada tahun 2018 pula, sektor pertanian menyumbang 7.3% (RM99.5 bilion) kepada KDNK dengan kelapa sawit merupakan penyumbang utama dan pada tahun lalu, sektor berkenaan menyumbang sebanyak 7.4% kepada ekonomi negara.

 

Jadikan tanaman nanas untuk menduduki tangga tertinggi yang menyumbang kepada KDNK negara sebuah realiti. 

 

Peluang pasaran tersedia luas, tiba masa rakyat di negara ini merebut semua ‘lubuk’ yang ada untuk menjana pendapatan sendiri, seterusnya meningkatkan hasil pendapatan negara pada masa hadapan. - DagangNews.com