NationGate sasar raih RM165.5 juta daripada penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

NationGate sasar raih RM165.5 juta daripada penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Dis - NationGate Holdings Berhad menyasarkan untuk meraih RM165.5 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang dijadualkan pada 12 Januari 2023.

 

“Dengan harga terbitan RM0.38 sesaham dan modal saham yang diperbesarkan berjumlah 2.1 bilion saham, syarikat dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM788.1 juta dengan penyenaraiannya pada 12 Januari 2023, menjadikannya yang terbesar di Pasaran ACE Bursa Securities,” kata penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu dalam satu kenyataan.

 

Daripada jumlah hasil itu, syarikat bercadang menggunakan RM48.4 juta (29.2%) untuk keperluan modal kerjanya bagi membeli bahan mentah, barang-barang guna habis dan komponen elektronik yang digunakan untuk aktiviti EMS Syarikat sejajar dengan pertumbuhan yang dijangkakan dalam aktiviti perniagaannya.

 

Sebanyak RM5.9 juta (3.6%) lagi daripada hasil akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan tambahan untuk mengembangkan kapasiti pemasangan teknologi pelekap permukaan (SMT) dan meningkatkan kecekapan pengeluarannya. 

 

Baki sebanyak RM105.5 juta (63.8%) dan RM5.7 juta (3.4%) masing-masing  akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusannya, Ooi Eng Leong berkata, selaras dengan strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan EMS, kumpulan itu akan menambah empat barisan pemasangan SMT untuk perkhidmatan pemasangan papan litar bercetak.

 

“Mesin dan peralatan baharu ini juga dijangka meningkatkan kecekapan EMS kami. Pada 14 November 2022, kami mempunyai kapasiti pengeluaran bulanan untuk perkhidmatan SMT sehingga 1,257,600,000 titik pelekap sebulan.

 

"Setelah selesai pengembangan barisan pemasangan SMT kami dalam tempoh 36 bulan, kapasiti pengeluaran bulanan kami dijangka meningkat sehingga 38,400,000 titik pelekap kepada maksimum 1,296,000,000 titik pelekap sebulan," katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

Pengarah Perkhidmatan Korporat, Tay Seng Chew berkata pasaran EMS masih berkembang kukuh walaupun kadar faedah meningkat dan jangkaan kemelesetan global.

 

“Kami secara umumnya berada dalam rangkaian infrastruktur dan telekomunikasi. Kami juga berada dalam segmen instrumentasi industri, segmen pengkomputeran data dan segmen automotif.

 

“Jadi segmen ini dijangka memberi kami pertumbuhan yang baik menjelang 2023 dan dalam beberapa tahun akan datang dalam jangka pertengahan,” katanya.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) NationGate dibuka untuk langganan hari ini sehingga 30 Disember 2022.

 

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 435.5 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 290.4 juta saham sedia ada. - DagangNews.com