Nestle untung RM132.49 juta pada Q4, naik 0.5% | DagangNews Skip to main content

Nestle untung RM132.49 juta pada Q4, naik 0.5%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Nestle (Malaysia) Berhad mencatatkan keuntungan sehingga RM132.49 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2020 (4Q20), menokok 0.5% daripada tempoh sama tahun lalu, RM131.82 juta. 

 

Bagi tempoh sama, kumpulan syarikat itu mencatatkan hasil mencecah RM1.37 bilion, melonjak 3.1% daripada RM1.33 bilion pada 4Q19.

 

Menurut Nestle dalam makluman di Bursa Malaysia, perniagaan terasnya iaitu makanan dan minuman (F&B) kekal sebagai penyumbang utama, mencatatkan 6% pertumbuhan didorong oleh penggunaan di rumah yang mengukuh. 

 

“Perniagaan eksport juga mencatatkan pertumbuhan baik. 

 

“Terus menyumbang kepada prestasi kumpulan adalah jualan saluran Luar Rumah (OOH) meningkat dengan baik kerana sekatan dilonggarkan pada separuh kedua tahun semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), walaupun masih jauh di bawah tahap pra COVID-19,” jelas kumpulan itu. 

 

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) Nestle mencatatkan penyusutan sebanyak -2.8% kepada RM167.4 juta daripada RM172.17 juta yang diraih pada tempoh sama tahun lalu. 

 

Jelas Nestle, ini disebabkan oleh saluran OOH yang terjejas selain perbelanjaan operasinya yang lebih tinggi untuk melindungi keselamatan pekerja dan memastikan operasi dapat diteruskan, termasuk program penyaringan antigen COVID-19. 

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) sebaliknya mencatatkan margin yang lebih tinggi daripada suku sama tahun lalu iaitu RM132.5 juta.

 

“Pengeluaran inovasi produk yang dipercepat juga merupakan pemacu pertumbuhan utama pada suku tersebut.

 

“Sebagai tambahan kepada inovasi yang diperkenalkan pada suku sebelumnya, produk baharu mengukuhkan lagi portfolio termasuk MILO Nutri Breakfast, format baharu MAGGI Chilli Sauce, dan pengenalan KIT KAT GOLD, dalam kedua-dua versi ais krim dan manisan,” tambah kenyataan itu.

 

Bagi prestasi keseluruhan tahun kewangan 2020 (FY20), Nestle menyaksikan keuntungan kumpulan syarikat menyusut -17.9% kepada RM552.71 daripada RM672.91 juta pada FY19. 

 

Hasil kumpulan syarikat bernilai RM5.41 bilion pada tahun kewangan berkenaan dengan impak pandemik tertumpu pada separuh tahun pertama dan menambah cabaran Tahun Baru Cina pada tahun 2020.

 

Jelas Nestle, perniagaan F&B mencatatkan pertumbuhan jualan 2.3% bagi tahun berkenaan susulan pelaksanaan penjualan yang mantap dan melibatkan kempen jenama.

 

“Kumpulan syarikat mencatatkan margin keuntungan yang stabil bagi tahun 2020, dengan PBT bernilai RM724.8 juta dan PAT sebanyak RM552.7 juta.

 

“Penguncupan (prestasi kewangan) berbanding 2019 adalah disebabkan oleh impak COVID-19 ke atas saluran OOH dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 yang ketara bernilai RM62 juta, di mana dilaburkan ke dalam usaha menangani pandemik dan langkah keselamatan pekerja serta kesinambungan operasi. 

 

“Tahun kewangan sebelumnya juga menerima manfaat daripada hasil one-off RM21 juta berhubung pelupusan kilang di Petaling Jaya,” tambah Nestle.

 

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah Nestle turut mengisytiharkan dividen interim ketiga pada kadar RM0.92 sesaham bagi FY20. 

 

Ini sekali gus menyaksikan jumlah dividen bagi tahun kewangan berkenaan bernilai RM2.32 sesaham.

 

Dari segi prospek syarikat bagi tahun kewangan semasa, Nestle melihat COVID-19 akan terus mendatangkan impak terutamanya sepanjang separuh pertama 2021. 

 

“Kami juga melihat terdapat lonjakan signifikan harga dalam banyak komoditi utama yang dijangka mendatangkan ketegangan margin, di mana kami akan terus lakukan dengan sebaik mungkin.

 

“Bakal ada perkembangan menarik pada tahun 2021 seperti kemasukan ke dalam kategori berasaskan tumbuhan yang baru muncul. Kemudahan pembuatan Makanan Berasaskan Tumbuhan kami, satu daripada hanya dua di seluruh Asia, kini lengkap dan beroperasi, dan akan dilancarkan secara rasmi pada bulan April.

 

“Pada tahun 2021, kami bakal memperuntukkan pelaburan baharu untuk mengembangkan dan meningkatkan kemudahan pembuatan kami selain mewujudkan peluang pekerjaan baru,” jelas Nestle lanjut. - DagangNews.com