Ni Hsin bekerjasama dengan Acasia untuk pemasaran, pengedaran basikal elektrik | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin bekerjasama dengan Acasia untuk pemasaran, pengedaran basikal elektrik

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pembuat alat memasak Ni Hsin Group Bhd menjalin kerjasama dengan sekutu Telekom Malaysia Bhd (TM) Acasia Communications Sdn Bhd untuk mempromosi, memasar dan mengedar motosikal elektriknya, TAILG EBIXON EV.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Ni Hsin berkata anak syarikat milik penuh syarikat Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV) menandatangani perjanjian perkongsian perniagaan selama tiga tahun dengan Acasia untuk melantik syarikat perkhidmatan telekomunikasi korporat itu sebagai ejen pemasaran daripada produk NH EV.

 

Menurut Ni Hsin, Acasia yang merupakan kerjasama tujuh penyedia telekomunikasi terkemuka di ASEAN, iaitu TM, Telekom Nasional, Singtel, Indosat Ooredoo, PLDT, VNPT, dan Nexus merupakan penyedia rangkaian perkhidmatan sambungan dan infrastruktur digital yang komprehensif.

 

“Aktiviti utama Acasia adalah untuk membangun, mengurus, mempertingkat dan menyokong perkhidmatan telekomunikasi korporat untuk memenuhi keperluan pelanggan perniagaan dan syarikat multinasional di Asean,” kata syarikat itu.

 

Ni Hsin berkata rasional perkongsian itu adalah untuk memanfaatkan hubungan Acasia dengan TM bagi mempromosi dan memasarkan motosikal TAILG EBIXON EV.


 

TAILG EBIXON EV

 


Sebagai balasan untuk memasarkan motosikal elektrik, Acacia akan dibayar insentif untuk jualan yang dicapai setiap bulan, menurut Ni Hsin.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY2023), Ni Hsin mencatatkan kerugian bersih RM1.25 juta berbanding untung bersih RM44,000 setahun sebelumnya, dengan hasil susut 24.06% kepada RM6.66 juta daripada RM8.77 juta sebelum ini.

 

Mengenai prospeknya, Ni Hsin berkata ia meramalkan masa depan yang cerah bagi bahagian EV memandangkan peningkatan kesedaran alam sekitar dan insentif kerajaan.

 

Syarikat itu juga berkata ia sedang berbincang dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk mendidik dan mempromosikan penggunaan motosikal elektrik bagi membantu kerajaan mencapai cita-cita alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com