Nilai ringgit ditentukan pasaran, BNM berperanan elak turun naik berlebihan dan pastikan keadaan pasaran teratur | DagangNews Skip to main content

Nilai ringgit ditentukan pasaran, BNM berperanan elak turun naik berlebihan dan pastikan keadaan pasaran teratur

Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour

KUALA LUMPUR 27 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa nilai ringgit ditentukan oleh pasaran.

 

Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, kehadiran bank pusat itu dalam pasaran pertukaran asing hanya untuk mengelakkan turun naik yang berlebihan dan bagi memastikan keadaan pasaran teratur.

 

"Kami tidak menyasarkan mana-mana paras tertentu ringgit," katanya pada sesi panel sempena Invest Malaysia New York, baru-baru ini, lapor Berita Harian.

 

Mengulas prestasi mata wang tempatan itu, Abdul Rasheed berkata, walaupun susut nilai pada separuh pertama 2023, ringgit dan beberapa mata wang serantau telah mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak 1 Julai 2023.

 

Katanya, baru-baru ini, ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang rakan perdagangan utama.

 

"Kami menjangkakan kejelasan lanjut mengenai penghujung kitaran pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama juga akan memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang pasaran baharu muncul secara amnya," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rasheed berkata, menerusi penilaian semasa bank pusat berkenaan, ekonomi Malaysia kekal seimbang, tanpa sebarang ketidakseimbangan besar.

 

Beliau berkata, inflasi kekal rendah dan stabil, dengan inflasi utama dan teras dijangka menjadi sederhana kepada purata jangka panjangnya.

 

Katanya, menjelang 2024, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan.

 

"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan berterusan projek infrastruktur berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini.

 

"Keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan dalam keadaan pertumbuhan kredit yang mampan," katanya. - DagangNews.com