Nilai seunit eksport, import Jun meningkat 1.9% & 0.5% | DagangNews Skip to main content

Nilai seunit eksport, import Jun meningkat 1.9% & 0.5%

Nilai seunit eksport, import Jun meningkat 1.9% & 0.5%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Indeks nilai seunit eksport dan import Malaysia bulanan kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada Jun 2021 apabila masing-masing pada 1.9% dan 0.5%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, indeks nilai seunit eksport bertumbuh 1.9% pada Jun 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+7.3%) minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.5%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.8%).

 

Menurutnya lagi, indeks volum eksport merekodkan peningkatan 12.2% pada bulan yang sama, disumbangkan oleh pertumbuhan indeks bahan kimia (+29.6%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+15.4%) dan minyak galian (+11.3%).

 

Uzir Mahidin
Uzir Mahidin 

 

Sementara itu, indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 21.2% daripada 142.6 mata kepada 172.8 mata.

 

Beliau menjelaskan, berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport meningkat 12.8%.

 

"Indeks nilai seunit import meningkat 0.5% pada Jun 2021 berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+4.4%), minyak galian (+1.6%) dan barang-barang keluaran kilang (0.7%).

 

"Sementara itu, indeks volum import disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (+20.5%), makanan (+13.0%) dan alat jentera & kelangkapan pengangkutan (+3.0%). Indeks volum import pelarasan bermusim pada Jun 2021 bertumbuh 14.5% daripada 149.0 mata kepada 170.6 mata.

 

"Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 5.1% dan 25.8%," katanya lagi. 

 

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 1.4% bulan ke bulan daripada 103.5 mata kepada 105.0 mata pada Jun 2021.

 

Berasaskan tahun ke tahun pula, prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.4% daripada 97.8 mata pada Jun tahun lalu. - DagangNews.com