Agrobank sediakan skim pembiayaan sehingga RM500,000 kepada usahawan PMKS Bumiputera | DagangNews Skip to main content

Agrobank sediakan skim pembiayaan sehingga RM500,000 kepada usahawan PMKS Bumiputera

Majlis pelancaran dana Program Skim Pembiayaan Usahawan Bumiputera Agromakanan (AgroPutra)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Agrobank melancarkan Program Skim Pembiayaan Usahawan Bumiputera Agromakanan (AgroPutra) bagi menyokong usahawan bumiputera dalam industri agromakanan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menawarkan bantuan kewangan sehingga RM500,000. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Skim AgroPutra yang terbahagi kepada dua kategori iaitu AgroPutra Niaga dan AgroPutra Tunas akan memastikan usahawan Bumiputera menerima sokongan kewangan yang diperlukan bagi memajukan dan mengembangkan perniagaan mereka. 

 

“AgroPutra Niaga merupakan pembiayaan untuk merangsang pertumbuhan perniagaan sedia ada usahawan Bumiputera dalam kategori PMKS, terutamanya kepada golongan yang terlibat dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan, termasuk pengeluaran sumber makanan, pemprosesan, pengedaran, pemasaran, dan perkhidmatan penyediaan makanan.

 

"Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000 dengan minimum pembiayaan sebanyak RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

 

Beliau berkata, terdapat sesetengah peniaga mempunyai minat dan ingin mula ‘bertatih’ dalam sektor perniagaan. Bagaimanapun, masalah seperti akses kepada bantuan kewangan menjadi penghalang kepada kerjaya mereka. 

 

"Oleh itu, fokus AgroPutra Tunas adalah kepada usahawan Bumiputera mikro yang baru, termasuk graduan, untuk memulakan perniagaan dalam bidang penyediaan, pemprosesan dan penyimpanan makanan. 

 

"Contoh perniagaan adalah termasuk kafeteria, perniagaan makanan sejuk beku, pusat pemprosesan makanan, dan katering. Mereka layak untuk menerima pembiayaan sehingga RM50,000.00 dengan minimum pembiayaan sebanyak RM5,000,” katanya. 

 

AgroPutra Tunas bukan sekadar program pembiayaan, tetapi turut menganjurkan bimbingan keusahawanan bagi membolehkan usahawan baru ini mendapat pengetahuan dalam pengendalian perniagaan dengan lebih baik.

 

Dengan pelancaran AgroPutra, Agrobank komited untuk memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam sektor agromakanan yang merupakan pemacu dalam ekonomi Malaysia.- DagangNews.com