Untung bersih Analabs pada 1QFY25 meningkat kepada RM5.56 juta dipacu keuntungan nilai saksama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Analabs pada 1QFY25 meningkat kepada RM5.56 juta dipacu keuntungan nilai saksama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Sept - Untung bersih Analabs Resources Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2024 (1QFY25) naik kepada RM5.56 juta berbanding RM3.91 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut bagaimanapun susut sebanyak 15.8% kepada RM32.2 juta berbanding RM38.3 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Katanya, perolehan bagi segmen pembuatan, penggubalan dan jualan resin, kimia dan bahan binaan menurun sebanyak 17.7%, menurun daripada RM26.7 juta kepada RM21.9 juta disebabkan penurunan jualan papan serpai melamin.

 

"Segmen kerja kontrak, pemasangan paip dan pemulihan mencatatkan hasil sebanyak RM7.9 juta, menunjukkan penurunan 13.7% berbanding RM9.2 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

"Pendapatan segmen pegangan pelaburan dan penyewaan hartanah dicatatkan pada RM506,000, peningkatan kecil sebanyak 0.8% berbanding RM502,000 pada suku tahun sebelumnya.

 

"Keuntungan kasar kumpulan tu bagaimanapun meningkat kepada RM7.2 juta dipacu keuntungan nilai saksama derivatif sebanyak RM3.3 juta," katanya.

 

Kumpulan itu percaya, prospek mereka kekal mencabar namun berjaya melaksanakan strategi lindung nilai yang relevan untuk mengawal struktur kos dan strategi untuk mengenal pasti peluang baharu untuk mengurangkan kesan ini.

 

Kumpulan meramalkan bahawa pendapatan dividen yang konsisten daripada segmen pegangan pelaburan boleh dikekalkan.- DagangNews.com