MKR perkenal traktor EV pertama Malaysia, majukan sektor pertanian mampan negara | DagangNews Skip to main content

MKR perkenal traktor EV pertama Malaysia, majukan sektor pertanian mampan negara

Pelancaran TerraGlide EV40 & Majlis Menandatangani MoU Antara MKR Hartamas dan Credence, UPM, Thai Achitech dan Ladang Tenusu Rompin.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - MKR Hartamas memperkenalkan traktor kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia, TerraGlide EV40, sebagai langkah penting dalam memajukan sektor pertanian mampan negara. 


 
TerraGlide EV40, traktor elektrik sepenuhnya yang tidak menghasilkan pelepasan karbon juga selaras dengan agenda negara bagi menangani isu perubahan iklim dan mempromosikan amalan pertanian mampan.

 

MKR berkata, inisiatif baharu itu menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0, yang membangunkan sektor pertanian mampan dan didorong oleh teknologi. 

 

"TerraGlide EV40 merupakan inisiatif besar dalam menangani keperluan mendesak terhadap penyelesaian pertanian yang mesra iklim dan menawarkan petani alternatif berkesan dan lebih lestari berbanding jentera tradisional," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pelancaran TerraGlide EV40 oleh MKR juga diadakan dengan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan kongsi utama, termasuk Credence (sebuah syarikat TM), yang diwakili oleh Naib Presiden Kanan Operasi, Moharmustaqeem Mohammed; Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diwakili oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Biologi & Pertanian, Profesor Madya Dr. Nazmi Mat Nawi; Thai Achitech, yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Kingpetch Hempotirat;  Rompin Dairy Farm yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fahrizal Datuk Srihassan dan MKR pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalili Rosly. 

 

Pertukaran MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Wira Haji Mahfuz Omar, Pengarah Bahagian Kejuruteraan LPP, Zaipudin Mohamad dan Pengarah Bahagian Mekanikal dan Elektrik Muda Agriculture Development Authority (MADA), Mohd Fadzil Mat Desa di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024. 

 

Kerjasama itu bertujuan mempercepatkan kemajuan penyediaan rumusan pertanian pintar, dengan penekanan pada IoT (Internet Pelbagai Benda), perkhidmatan digital berasaskan awan dan teknologi pertanian yang lebih lestari bagi mengoptimumkan hasil tanaman, meningkatkan teknik pertanian tepat dan mengurangkan jejak karbon secara ketara.

 

 

nnn
Pelancaran  traktor  kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia, TerraGlide EV40

 

Sementara itu, Khalili berkata, fokus syarikat sentiasa pada inovasi yang memberikan nilai sebenar kepada komuniti pertanian. 

 

"TerraGlide EV40 adalah lebih daripada sekadar traktor elektrik, ia adalah simbol masa depan pertanian, di mana teknologi dan kelestarian bergerak seiring," katanya.

 

Beliau berkata, kepakaran syarikat dalam projek pertanian berasaskan IoT sebelum ini membolehkan petani meningkatkan produktiviti dalam kelestarian. 

 

"Pengenalan TerraGlide EV40 diinspirasikan dari kejayaan ini, di mana MKR menyediakan solusi berprestasi tinggi mesra alam yang mengurangkan kos operasi dan pelepasan karbon sambil meningkatkan kecekapan.

 

"Bersama rakan kongsi, kami sedang giat berusaha memajukan pertanian pintar, kelestarian alam sekitar dan teknologi canggih bersatu bagi mewujudkan manfaat yang berpanjangan," ulasnya. - DagangNews.com