NUBE saran Kementerian Kesihatan selaras laporan status harian kes COVID-19 elak kekeliruan | DagangNews Skip to main content

NUBE saran Kementerian Kesihatan selaras laporan status harian kes COVID-19 elak kekeliruan

 

KUALA LUMPUR 16 Sept – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menyarankan Kementerian Kesihatan menggunakan satu kaedah yang seragam, yang digunakan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), dalam menyediakan maklumat terkini yang konsisten.

 

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank, J Solomon berkata, penelitian NUBE mendapati terdapat tiga atau empat data yang boleh diperoleh setiap hari ini.

 

Pertama kata beliau, statistik yang dikeluarkan menerusi portal terkini COVIDNOW, yang lazimnya muncul menjelang tengah hari setiap (berdasarkan data jam 11.59 tengah malam hari sebelumnya).

 

Yang kedua ialah catatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan menerusi media sosial beliau dan satu lagi kenyataan media Kementerian Kesihatan pada sebelah petang setiap hari (berdasarkan data setakat 12 tengah hari).

 

Pada pandangan NUBE, kewujudan pelbagai set data mengenai status kes COVID-19 di Malaysia, yang boleh mengelirukan orang ramai yang sudah pun berhadapan dengan siri tekanan ekoran krisis kesihatan ini yang terus berpanjangan.

 

‘’Walau apa bentuk data atau statistik yang hendak digunakan, ia seharusnya sesuatu yang konsisten bagi membolehkan setiap pengguna data hanya memperoleh maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan sesiapa, terutama pihak media yang sentiasa berusaha untuk menyediakan maklumat terkini kepada orang ramai,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Solomon berkata, NUBE mendapati pihak media menyiarkan set data yang berbeza mengenai jumlah kes jangkitan harian terkini antara satu sama lain, sehingga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai ketepatan data.

 

‘’Perbezaan dalam laporan mereka dipercayai berpunca daripada kelainan dalam maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan,’’ katanya lagi.

 

 

j Solomon
J Solomon

 

 

Menurutnya, Malaysia telah memperuntukkan dana yang besar untuk pembangunan teknologi maklumat bagi tujuan mengumpulkan data.

 

‘’Kita kadang-kadang menerima angka lama yang dibawa ke hadapan atau 'backlogs cases', dan bukannya berdasarkan butiran 12 tengah malam atau tengah hari.

 

‘’Ini membingungkan rakyat sehingga menimbulkan persoalan sama ada angka yang diberikan kadang-kadang boleh dipercayai dan diterima,’’ kata beliau.

 

Sehubungan dengan itu, NUBE berharap Kementerian Kesihatan akan memilih satu kaedah yang konsisten dan seragam, tidak kira bila tarikh akhir pelaporan, sama ada tengah malam tarikh pelaporan (11.59 malam) atau satu masa tertentu pada hari pelaporan (12 tengah hari setiap), supaya maklumat-maklumat yang dikeluarkan tidak mengelirukan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai aspek keseragaman data yang terkini.

 

NUBE kata beliau, tidak pasti sama ada Kementerian Kesihatan kini dalam proses menyelaraskan kaedah pelaporan data harian.

 

Pun begitu, NUBE berharap Kementerian Kesihatan akan menyemak semula kaedah pelaporan semasa bagi memudahkan orang ramai memperoleh maklumat terkini dan mengelakkan persepsi negatif mengenai proses pelaporan harian semasa. – DagangNews.com