Nuraslina dilantik CEO Theta Edge berkuat kuasa 8 Sept | DagangNews Skip to main content

Nuraslina dilantik CEO Theta Edge berkuat kuasa 8 Sept

Nuraslina Zainal Abidin

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Nuraslina Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Bhd. bagi tempoh 2 tahun, berkuat kuasa hari ini. 

 

Pengerusi Theta Edge Berhad, Datuk Noordin Sulaiman berkata, pelantikan itu adalah bagi menggantikan A. Shukor S.A. Karim yang bersara pada Mesyuarat Am Tahunan syarikat ke-28 pada 28 Jun lalu.

 

"Dengan pelantikan baharu ini, beliau akan mengetuai transformasi dan juga nilai-nilai syarikat untuk pemulihan segera dan seterusnya menerapkan strategi untuk jangka panjang dan kelestarian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Nuraslina, 46 tahun, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Innovation Associates Consulting Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Dagang Nexchange Bhd. serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Genaxis Group Sdn Bhd. 

 

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan dari Universiti Sains Malaysia. 

 

Menerusi kepemimpinannya dalam meneraju aspek transformasi digital dan pengoptimuman perniagaan, beliau telah berjaya memberikan nilai penjimatan sehingga AS$150 juta kepada para pelanggannya.

 

Malah, beliau berpengalaman selama 17 tahun dalam bidang transformasi dan pengoptimuman proses perniagaan syarikat berprestasi tinggi. 

 

Nuraslina turut menerajui pelbagai projek mega teknologi kerajaan dan terlibat dalam penghasilan inisiatif strategik untuk transformasi digital. 

 

Beliau telah dianugerahkan beberapa pengiktirafan di atas usahanya sebagai usahawan dan usahawan tekno, serta merupakan fasilitator di peringkat kebangsaan termasuklah antarabangsa. 

 

Corak kepimpinannya yang berwawasan dan bertranformasi menjadikan beliau sebagai ikon yang dikenali dalam bidang perubahan perniagaan, pembangunan dan peningkatan prestasi.

 

Dengan pelantikan Nuraslina sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, status Jawatankuasa Eksekutif dibubarkan serta-merta. - DagangNews.com