CESSB guna loji elektrik sepenuhnya yang dapat menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien dan mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun. - Gambar TNB
SEPANG 15 Julai - Syarikat usaha sama (JV) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Cooling Energy Supply Sdn Bhd (CESSB) telah memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Julai lalu.
Anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) memiliki 70% ekuiti dalam CESSB manakala anak syarikat milik penuh MAHB, Airport Ventures Sdn Bhd memegang baki 30% ekuiti.
CESSB ditubuhkan tahun lalu bagi membekal tenaga elektrik dan penyejukan kepada lapangan terbang tersebut.
Di bawah Perjanjian Konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendalikan, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.
Syarikat usaha sama itu juga akan menjual, mengagih, dan membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi yang moden, efisien dan berdaya harap.
Pengerusi TNEC, Lim Fu Yen berkata, kerjasama antara TNB dan MAHB melalui CESSB menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang-penumpang yang menggunakan KLIA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan TNB dalam mempromosikan dan membekalkan penyelesaian tenaga mampan kepada pelanggannya, selaras dengan aspirasinya untuk meningkatkan kualiti kehidupan menerusi solusi yang inovatif dan mampan untuk dunia yang lebih baik.
Usaha sama ini adalah persitiwa penting bukan sahaja bagi TNB dan MAHB, malah untuk Malaysia kerana ia memodenkan loji penyejukan daerah di KLIA dan menyatukan keperluan tenaga di bawah pembekal yang sama memandangkan TNEC juga membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan untuk KLIA2.
CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya. Dengan itu, loji tersebut akan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.
TNEC adalah pakar dalam bidang kejuruteraan sistem tenaga mampan dan peneraju dalam bidang pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah serta projek solar berskala besar dengan rekod cemerlang di Malaysia dan antarabangsa.
Selain menjalankan operasi dan penyelenggaraan enam loji penyejukan daerah di Malaysia, TNEC juga berjaya membina beberapa loji penyejukan daerah di Malaysia, dua di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tiga projek solar berskala besar di Malaysia.
Menerusi kepakaran kolektif dalam pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan solusi tenaga mampan, TNB komited dalam aspirasinya untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. - DagangNews.com