Operasi Tabung Haji akan terus ditambah baik - MoF | DagangNews Skip to main content

Operasi Tabung Haji akan terus ditambah baik - MoF

 

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji akan ditambah baik secara menyeluruh sejajar dengan persetujuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

 

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), antara lain, ia melibatkan cadangan dasar model baharu operasi Tabung Haji dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995. 

 

Jelasnya, cadangan model baharu operasi agensi tersebut tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Tabung Haji.

 

"Di samping itu, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan penyenaraian LTH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan dikawalselia oleh BNM," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dapatan pengauditan perunding-perunding untuk tempoh 2014 hingga 2018.

 

Selain itu, ia juga termasuklah langkah-langkah pemulihan yang telah dilaksanakan oleh Tabung Haji berdasarkan dapatan perunding-perunding tersebut sehingga 2020. 

 

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berkata, sepertimana yang diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021, skop suruhanjaya ini tidak akan merangkumi usaha penambahbaikan berterusan dan penstrukturan yang sedang dilaksanakan bagi memperkasakan tadbir urus Tabung Haji.

 

Jelasnya, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi Tabung Haji sebagai institusi simpanan kewangan Islam adalah amat penting bagi memastikan kedudukan kewangannya lebih kukuh dan stabil, untuk menjamin dan memelihara kepentingan para pendeposit dan jemaah haji Malaysia. 

 

"Sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh kerajaan," katanya. - DagangNews.com