KUALA LUMPUR 4 Jan - Oppstar Berhad berjaya menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE.
Kumpulan terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) yang meliputi reka bentuk bahagian hadapan, reka bentuk bahagian belakang dan penyelesaian siap guna yang lengkap selain turut menyediakan perkhidmatan lain yang berkaitan seperti perkhidmatan pengesahan pasca silikon, latihan serta perkhidmatan perundingan.
Bersempena dengan penyenaraian itu, pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 165 juta saham baharu mewakili kira-kira 26% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Daripada 165 juta saham itu, 31.8 juta saham akan disediakan untuk permohonan orang ramai dan 22.2 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sejumlah 31.8 juta saham lag akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih manakal baki 79.5 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oppstar, Ng Meng Thai berkata, kelulusan itu membolehkan pihaknya memulakan fasa pertumbuhan seterusnya dengan evolusi berterusan dalam teknologi dan kitaran pembangunan produk, reka bentuk IC semakin maju dan kompleks.
Beliau berkata, reka bentuk IC memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor dan dengan pengalaman yang dimiliki, Oppstar akan mendapat manfaat daripada permintaan industri itu.
“Kami percaya bahawa pelaksanaan IPO akan membantu kami mempercepatkan rancangan pengembangan kami dan meningkatkan kehadiran kami dalam industri reka bentuk IC dengan membolehkan kami mengumpul dana untuk pengembangan perniagaan kami.
"Kami mempunyai beberapa rancangan pengembangan dalam perancangan yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri ini malah menjadi pemangkin kepada perniagaan pada masa hadapan,” tambahnya.
Affin Hwang Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal penyenaraian itu. - DagangNews.com