Panasonic dijangka terus berdepan tekanan margin keuntungan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Panasonic dijangka terus berdepan tekanan margin keuntungan - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - MIDF Research menjangkakan Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad terus berhadapan berhadapan dengan tekanan margin keuntungan pada masa akan datang.

 

Firma itu berkata, kenaikan harga jualan bagi sesetengah barang tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos bahan mentah selain keputusan mereka untuk tidak meneruskan pembuatan beberapa produk.

 

Firma itu kekal berhati-hati dengan jumlah jualan yang rendah pada suku akan datang kerana kadar inflasi semakin meningkat dan dijangka mengurangkan kuasa membeli sesetengah pengguna.

 

"Selain itu, mereka dijangka berdepan beberapa perkara positif seperti kos input yang lebih rendah daripada jangkaan dan penghasilan produk baharu yang lebih cepat daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu menurun 35.88% kepada RM11.45 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM17.86 juta suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan juga menurun 3.94% kepada RM243.68 juta daripada RM253.67 juta.

 

Firma itu berkata, penurunan hasil itu berpunca daripada penurunan jualan beberapa peralatan dapur dengan kumpulan itu merancang untuk memberhentikan pengeluaran sesetengah produk selain penghentian penjualan periuk nasi.

 

Katanya, selain itu kumpulan itu juga berdepan gangguan rantaian berterusan akibat sekatan pergerakan di China akibat COVID-19.

 

"Margin keuntungan selepas cukai (PBT) juga turun kepada 5% disebabkan penurunan keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) kepada RM8.8 juta (-50.7%)," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM21.20 berbanding RM22.75. - DagangNews.com