`Pekerjaan hijau’ merujuk kepada pekerjaan yang menyumbang pada pemeliharaan atau pemulihan alam sekitar, sama ada melalui sektor tradisional seperti pertanian dan perkilangan atau sektor baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau.
Pemerkasaan pekerjaan hijau menjadi elemen penting dalam mencapai aspirasi kemampanan lestari kerana ia menggabungkan pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial, dan perlindungan alam sekitar secara harmoni.
Deklarasi ASEAN pada tahun 2018 dalam mempromosikan pekerjaan hijau mencerminkan komitmen dalam mengurangkan impak alam sekitar melalui pekerjaan yang lestari.
Malah, aspirasi global terhadap pemacu kritikal dalam pembangunan lestari, seperti yang ditekankan di dalam Agenda 2030, menunjukan keperluan mendesak untuk menyelaraskan sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan permintaan tenaga kerja baru yang muncul, terutamanya dalam pekerjaan hijau.
Namun, seperti dinyatakan didalam laporan pendidikan 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), terdapat jurang yang ketara terhadap ketersediaan IPT sebagai platform utama dalam mengapai objektif dalam melahirkan tenaga kerja mahir masa depan di dalam pekerjaan hijau.
Dijangkakan sejumlah 24 juta pekerjaan hijau akan diwujudkan secara global menjelang tahun 2030, terutamanya di Asia.
Profesor Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Timbalan Naib Canselor UTM (Akademik dan Antarabangsa) semasa berucap di Persidangan Pendidikan Tinggi ASEAN 2023 di Bandung, Indonesia, pekerjaan hijau ini juga akan melonjak merentasi sektor dan industri, menawarkan pertumbuhan KDNK dan peluang pekerjaan yang besar.
Namun, IPT dilihat masih kekurangan rangka kerja, kurikulum, dan mekanisme kolaborasi yang diperlukan untuk menyelaraskan latihan akademik dengan keperluan dinamik industri hijau.
Halangan sedia ada termasuk kandungan pendidikan yang perlu diperkemaskan, sistem nasihat kerjaya yang tidak mencukupi untuk pekerjaan hijau, kerjasama yang terhad diantara pendidik dan majikan, serta kurangnya keterangkuman untuk pelajar bagi pemerkasaan pasaran perkerjaan hijau ini.
IPT perlu memainkan peranan penting sebagai pemangkin perubahan dalam pembangunan pasaran pekerjaan hijau.
Dalam konteks aspirasi kemampanan lestari, IPT tidak hanya bertindak sebagai pusat pengajian tetapi juga sebagai platform untuk membangun tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran, dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi hijau.
Pelbagai inisiatif perlu diperhalusi di setiap peringkat IPT bertujuan untuk merapatkan jurang ini. Antaranya:
- IPT perlu memberi tumpuan kepada pembaharuan kurikulum dengan memperbanyakan modul berkaitan pekerjaan hijau seperti tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sumber semula jadi, dan teknologi hijau.
Kurikulum berteraskan panduan hijau semestinya perlu dibina dan diperkemas sebagai asas literasi alam sekitar yang membolehkan pelajar memahami cabaran ekologi dan bertindak balas terhadapnya. Penemuan OECD dari Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 menunjukkan bahawa penguasaan pelajar terhadap sains alam sekitar dan kelestarian membentuk sikap, nilai, dan pro-alam sekitar tingkah laku.
Ia seterusnya meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pelajar sebagai tenaga kerja mahir pada masa depan yang berorientasikan alam sekitar, selari dengan permintaan oleh pasaran perkerjaan hijau.
- IPT perlu menggalakkan dialog diantara ahli akademik dan industri untuk mengenal pasti keperluan dan trend dalam sektor hijau bagi menyelaraskan program akademik dengan permintaan pasaran. Ia juga dapat meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor hijau.
Seterusnya, IPT boleh menjadi peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau serta pendekatan inovatif untuk menyokong aspirasi kemampanan, seperti: menyokong penemuan teknologi bersih, amalan pertanian lestari, dan sistem pengurusan tenaga cekap.
Selain itu, IPT perlu menawarkan latihan praktikal dan kerjasama dengan industri hijau untuk memberi pengalaman dunia sebenar kepada pelajar dalam usaha pembangun kapasiti dan tenaga mahir dalam pekerjaan hijau ini.
Inisiatif ini juga dilihat dapat mewujudkan ruang untuk pelajar meneroka peluang perniagaan dalam sektor hijau melalui bimbingan dan sokongan modal permulaan, seterusnya menceburi bidang pekerjaan hijau secara kompetitif.
Sebagai institusi yang berhubung rapat dengan masyarakat, IPT juga diharapkan dapat menyediakan program latihan dan kesedaran untuk komuniti luar bandar atau golongan kurang bernasib baik bagi membangunkan kemahiran mereka dalam sektor hijau.
Ia adalah bagi memastikan akses kepada pendidikan hijau untuk semua, termasuk golongan wanita, belia, dan kumpulan terpinggir.
Keseluruhannya, peranan IPT dalam memperkasa pasaran pekerjaan hijau adalah asas kepada transformasi ke arah kemampanan lestari.
Dengan memperkukuhkan hubungan akademik-industri, menyelaraskan kurikulum dengan keperluan pasaran hijau, dan menyokong penyelidikan inovatif, IPT dapat menjadi pemacu utama dalam membentuk tenaga kerja mahir masa depan yang mampu menggalas cabaran global.
Melalui pendekatan menyeluruh, IPT dapat memainkan peranan kritikal dan menyumbang secara signifikan dalam mewujudkan ekonomi hijau yang inklusif dan lestari seterusnya mengapai agenda pembangunan lestari. - DagangNews.com