Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat di peringkat global, Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals atau SDG) ketiga iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik diperkenalkan untuk mencapai liputan kesihatan sejagat.
Matlamat ini menekankan keperluan menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan adil kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira jantina atau umur.
Selaras dengan komitmen tersebut, Pelan Strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021–2025 turut memberi keutamaan kepada pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang saksama, mampan, dan berkualiti.
Pendekatan tersebut dianggap sebagai langkah utama untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat dan menangani cabaran kesihatan semasa.
Modal insan merupakan tunjang utama dalam pembangunan sesebuah negara, terutamanya dalam menyokong sistem kesihatan yang mampan.
Gabungan kemahiran, pengetahuan, dan dedikasi tenaga kerja kesihatan memainkan peranan sebagai penentu sosial kesihatan (social determinants of health).
Sistem kesihatan yang mampan memerlukan pelaburan strategik, termasuk peningkatan kualiti latihan tenaga kerja kesihatan melalui pendidikan dan pembangunan profesional, pengagihan sumber secara adil untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang saksama, serta sokongan sosial kepada kakitangan kesihatan bagi meningkatkan kepuasan kerja dan motivasi.
Namun, Malaysia kini berhadapan dengan cabaran yang lebih besar iaitu fenomena ‘brain drain’ seperti yang dinyatakan dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Julai 2024 terutamanya dalam kalangan kakitangan di sektor kesihatan.
Fenomena ini melibatkan penghijrahan tenaga mahir seperti doktor, jururawat, dan kakitangan kesihatan lain ke negara-negara luar yang menawarkan peluang kerjaya lebih baik.
Ketaksamaan sosial turut berlaku dalam sektor kesihatan yang memberi kesan kepada penerima perkhidmatan dan kakitangan kesihatan itu sendiri.
Faktor seperti jantina, lokaliti, status ekonomi, dan tahap pendidikan menyumbang kepada jurang yang ketara dalam gaji, peluang kenaikan pangkat, beban kerja, dan akses latihan profesional.
Laporan World Health Organization (WHO) pada tahun 2023 menunjukkan wanita dalam sektor kesihatan global hanya menerima 75% daripada gaji lelaki untuk tugas yang sama, selain menghadapi kekangan dalam jawatan pengurusan.
Malaysia pula menghadapi isu kakitangan kesihatan di kawasan luar bandar yang menunjukkan tahap kepuasan kerja yang rendah akibat beban kerja yang banyak dan kekurangan sokongan logistik seperti yang dilaporkan oleh KKM pada 2022.
Hal tersebut mengakibatkan fenomena ‘brain drain’ semakin memburukkan keadaan. Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan drastik dalam bilangan tenaga kerja perubatan yang kritikal.
Bilangan pegawai perubatan (MO) yang gagal melaporkan diri bagi pelantikan tetap, meningkat daripada 78 orang pada 2022 kepada 1,118 pada 2023.
Perletakan jawatan doktor kontrak pula meningkat kepada 1,354 pada 2022, berbanding hanya 110 pada 2017. Selain itu, bilangan pegawai dalaman dilantik (HO) menurun daripada 6,136 pada 2019 kepada 3,271 pada 2023.
KKM juga mengunjurkan kekurangan sekurang-kurangnya 8,000 jururawat pada tahun 2024, yang dijangka meningkat kepada 60% menjelang tahun 2030.
Laporan Malaysian Medical Association (MMA) 2023 pula menunjukkan sekitar 15% doktor muda memilih untuk bekerja di luar negara, menyumbang kepada kekurangan kakitangan di hospital dan klinik kerajaan tempatan.
Fenomena ‘brain drain’ dalam sektor kesihatan memberi kesan langsung kepada kemampuan sistem kesihatan untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat terutamanya dalam situasi kritikal seperti pandemik dan bencana, di samping membebankan bilangan kakitangan yang ada, meningkatkan risiko keletihan profesional (burnout), dan akhirnya menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan.
Oleh itu, usaha menangani atau mngurangkan masalah ini perlu diutamakan bagi melestarikan bilangan kakitangan kesihatan tempatan.
Saranan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia:
- KKM disaran mengemukakan cadangan bagi meningkatkan gaji kakitangan kesihatan melalui penyelarasan Waran Perjawatan (WP) sedia ada, serta memperkukuhkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
- Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak peluang pendidikan dan latihan profesional seperti program biasiswa, cuti belajar bersyarat, dan peluang untuk melanjutkan pelajaran atau mendapatkan latihan kepakaran dalam negara bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kakitangan.
Langkah tersebut bukan sahaja memberi motivasi tetapi juga membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
- Selain itu, terdapat keperluan untuk memperbaiki suasana kerja dengan menyediakan kemudahan perubatan moden, peralatan mencukupi, dan persekitaran kerja yang kondusif kerana sistem pengurusan hospital yang lebih cekap, termasuk penggunaan teknologi automasi dapat mengurangkan beban kerja kakitangan, sekaligus mengurangkan tekanan dan risiko burnout.
- Peningkatan suasana kerja dan infrastruktur sektor kesihatan adalah penting bagi memastikan kakitangan merasa dihargai dan mampu menjalankan tugas dengan baik.
- Dengan populasi masyarakat yang semakin menua dan beban penyakit kronik yang meningkat, sistem kesihatan tempatan memerlukan pelaburan strategik bagi memenuhi keperluan ini.
- Pada masa yang sama, ketaksamaan sosial dalam kalangan kakitangan kesihatan mencerminkan kelemahan struktur dalam sistem kesihatan yang memerlukan perhatian segera.
Usaha kolektif daripada kerajaan, swasta, dan pihak berkepentingan dalam menangani kesemua permasalahan yang timbul ini sehingga ke akar umbi amat perlu dititikberatkan agar fenomena ‘brain drain’ dapat dikawal dan negara dapat mengekalkan tenaga kerja kesihatan serta memastikan negara memiliki perkhidmatan kesihatan yang adil, mampan, dan berkualiti. - DagangNews.com