Pasaran global tidak menentu, KLCI naik sedikit | DagangNews Skip to main content

Pasaran global tidak menentu, KLCI naik sedikit

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Pasaran ekuiti tempatan boleh dikatakan dibuka dan ditutup mendatar sahaja dalam jajaran yang terhad kerana sentimen kukuh masih lagi kabur ketika ini. 

 

Walaupun hari ini (24 Februari), negara dijangka menyaksikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pertama di Malaysia, namun pasaran saham tempatan lebih dipengaruhi prestasi dagangan di Amerika Syarikat (AS) dan serantau. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 5.96 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,565.05 kepada 1,571.01.

 

Kaunter untung termasuk Nestle (M) Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Frontken Corp Berhad, Aeon Credit Service (M) Berhad, Latitude Tree Holdings Berhad, Tasco Berhad danTenaga Nasional Berhad.

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI sekali lagi menghadapi penjualan lewat dalam saham sarung tangan dan trend itu dijangka diteruskan lagi hari ini. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan prestasi bursa tempatan kekal tidak menentu, tetapi melihat hasil korporat yang baik sebagai pemangkin.

 

“Maka, kami mengunjurkan indeks penanda aras itu mungkin didagangkan sekitar jajaran 1,570/80 hari ini,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Sementara di peringkat global pula, Wall Street terus ‘beraksi’ tidak menentu ketika Rizab Persekutuan AS tampil untuk meredakan ketakutan inflasi, sekali gus mendorong indeks utama ditutup pada paras rendah masing-masing. 

 

“Dow Jones Industrial Average melonjak semula daripada kemerosotan 360 mata kepada 16 mata lebih tinggi untuk mengakhiri dagangan semalam pada 31,537. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau tidak menentu hari ini memandangkan niaga hadapan ekuiti AS masih mendatar,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com