PayNet lancarkan Program Akar, kurangkan jurang kemahiran digital industri kewangan Malaysia | DagangNews Skip to main content

PayNet lancarkan Program Akar, kurangkan jurang kemahiran digital industri kewangan Malaysia

Dari kiri: Pengarah Urusan WEPS, Datuk V Rathakrishnan; Pengarah Kanan PayNet AKAR, Jun Maria Tan Abdullah; Pengurus Besar Negara AWS, Peter Murray; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad; Naib Canselor APU, Profesor Ho Chin Kuan; dan Ketua Pegawai Eksekutif WEPS, Mughilen Rathakrishnan.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Julai - Rangkaian pembayaran nasional, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) melancarkan Program Akar menyasarkan untuk menangani keperluan mendesak pekerja mahir digital di Malaysia. 

 

Dikendalikan oleh AWS re/Start, inisiatif kemahiran awan perintis itu bakal mengubah industri perkhidmatan kewangan dengan melengkapkan pekerja dengan kemahiran digital penting, melalui World Education Placement Services Sdn Bhd (WEPS).

 

Menurut kenyataan media PayNet, dalam tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 78% majikan Malaysia mengutamakan pekerja mahir digital.  

 

Walau bagaimanapun, penyelidikan oleh Gallup dan AWS mendapati majoriti rakyat Malaysia menghadapi cabaran kekurangan akses kepada latihan kemahiran digital mampu milik, walaupun lebih 80% daripadanya menyatakan minat yang tinggi dalam program sedemikian.  

 

Kata PayNet, pengkomputeran awan memainkan peranan penting dalam penggunaan AI kerana ia berfungsi sebagai asas mengakses kepada inovasi mengubah industri. 

 

Menurut kajian Accelerating AI Skills baru-baru ini oleh Access Partnership dan AWS, 99% majikan perkhidmatan kewangan dijangka untuk menggunakan AI dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Setelah meninjau seluruh industri, pekerja perkhidmatan kewangan berpendapat optimistik tentang penggunaan AI di tempat kerja. 

 

Menurut kajian itu, 99% daripada responden  melaporkan AI akan memberi impak pada kerjaya mereka, manakala 93% daripadanya ingin membangunkan kemahiran AI.

 

PayNet mengulas, Program Akrar dirangka untuk mengurangkan jurang kemahiran digital pekerja perkhidmatan kewangan, ia merupakan program inklusif dan mudah diakses tanpa sebarang kos. 

 

Selain itu, pemohon tidak perlu mempunyai latar belakang teknikal terlebih dahulu untuk menyertai program itu. 

 

“AWS akan menyediakan sumber latihan, perkhidmatan awan dan kepakaran teknikal, manakala PayNet akan membiayai program dan menyokong penyepaduan kemahiran yang berkaitan dengan industri. 

 

“WEPS akan memastikan kurikulum adalah terkini dan berfokuskan industri,” ujarnya. 

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama awal ini, PayNet, AWS re/Start dan WEPS melancarkan program perintis melibatkan 100 pelajar pada tahun 2024.

 

Kohort pertama daripada 50 pelajar akan bertindak akan mengumpulkan cerapan dan memperhalusi program untuk kohort masa hadapan.

 

Bagi membina asas kukuh, peserta akan menjalani kursus selama 47 hari, meliputi kemahiran asas awan dan pembayaran digital, termasuk pengaturcaraan, rangkaian, keselamatan dan pangkalan data. 

 

Graduan juga akan melengkapkan Peperiksaan Persijilan Pengamal Awan AWS diiktiraf industri untuk mengesahkan kemahiran mereka.

 

Selain daripada sijil tersebut, graduan akan menerima sokongan dalam latihan amali dan penempatan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kewangan Malaysia.

 

Katanya, PayNet dan WEPS akan menghubungkan calon dengan peranan seperti operasi awan, kebolehpercayaan tapak, sokongan infrastruktur dan fungsi sokongan perniagaan teknikal.

 

Pengarah Kanan PayNet Akar, Jun Maria Tan Abdullah menekankan program itu bagi melengkapkan perkerja dengan bakat awal dengan kemahiran awan yang penting.

 

"Inisiatif ini memastikan pelajar menerima kemahiran yang relevan dan pembelajaran berasaskan pengalaman, menyediakan mereka dengan berkesan untuk tenaga kerja," ulas beliau. 

 

Di samping itu, Pengurus Negara Malaysia AWS, Pete Murray mengujar matlamat ekonomi digital Malaysia bergantung kepada bakat yang mempunyai kemahiran untuk memacu perubahan ini.


 
"Kerjasama PayNet, AWS WEPS dalam program itu akan melengkapkan pekerjanya dengan kemahiran asas dalam Keselamatan Awan, Kepintaran Buatan, Analitis Data dan Pemodenan Aplikasi," ujarnya. 

 

Sementara itu, kohort pertama program itu akan bermula pada Julai 2024, melibatkan 50 pelajar dari Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU).

 

Selain itu, badan organisasi seperti Bank Negara, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Bank Islam telah menyatakan minat untuk menyediakan peluang latihan kepada para graduannya. 

 


Ketua Pegawai Eksekutif WEPS, Mughilen Rathakrishnan pula yakin program itu akan menangani kekurangan profesional mahir di Malaysia dan membina saluran paip bakat awan yang pelbagai. - DagangNews.com