Pekat jana RM44.4 juta dari IPO untuk luaskan perniagaan solar PV dan ELP | DagangNews Skip to main content

Pekat jana RM44.4 juta dari IPO untuk luaskan perniagaan solar PV dan ELP

 

SHAH ALAM  2 Jun – Pakar Solar Fotovoltan (PV) dan Perlindungan Kilat dan Pembumian (ELP) Pekat Group Berhad mengunjur untuk menjana sebanyak RM44.4 juta di bawah cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Syarikat ini merancang untuk menggunakan RM18 juta (40.6%) yang dijana dari tawaran awam permulaan (IPO) untuk pembinaan ibu pejabat baharu dan kemudahan operasi yang mana ia meluaskan operasinya bagi mengambil peluang daripada pertumbuhan masa hadapan di dalam industri solar PV.

 

Ibu pejabat baharunya dengan kawasan binaan keseluruhan seluas 114,252 kaki persegi akan menjadi kemudahan bersepadu bagi semua fasiliti syarikat (ibu pejabat, kawasan pameran, stesen pusat pemantauan, pusat latihan, bengkel dan gudang) kesemuanya di bawah satu bumbung.

 

Ia akan berperanan sebagai mercu tanda bagi kemudahan perniagaan solar PV syarikat serta platform pengurusan, pemantauan dan penilaian bersepadu apabila ia siap dan beroperasi pada Disember 2023.

 

Pekat seterusnya akan mengguna pakai RM12.7 juta (28.6%) bagi keperluan modal kerja terutama bagi pembelian bahan-bahan untuk projek-projeknya seperti modul solar PV, pembalik solar PV dan, produk dan aksesori ELP; RM10 juta (22.5%) untuk membayar balik pinjaman bank manakala baki RM3.7 juta (8.3%) akan diguna bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian untuk IPO.

 

Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau berkata, pertambahan di dalam modal kerja akan membantu keupayaan Syarikat meraih lebih banyak kontrak, melaksanakan lebih banyak projek secara serentak dan menyediakan lebih banyak perkhidmatan penyenggaraan.

 

“Beberapa projek solar PV dan ELP yang kami terlibat memerlukan bon tender dan bon prestasi, yang lazimnya nilai tetap tetapi berbeza antara satu tender dengan yang lain.

 

"Ini menyebabkan sebahagian modal kami terikat sepanjang tempoh projek, oleh itu menjejaskan kecairan kami selama tempoh tersebut.

 

"Justeru, peruntukkan untuk modal kerja dijangka meningkatkan kecairan Pekat dan aliran tunai, supaya kami akan berada pada kedudukan lebih teguh bagi memperoleh dan menyempurnakan lebih banyak projek di masa hadapan,” kata beliau.

 

Pekat
Barisan pertama: Wee Chek Aik; Chin Soo Mau; Tai Yee Chee; barisan kedua: Datuk Bill Tan; Datuk Eddie Ong, Gary Ting dan barisan ketiga, Kok Kong Chin iaitu Pengerusi Pekat Group Berhad menunjukkan prospektus IPO syarikat itu yang diadakan secara maya hari ini. 

 

Di bawah proses penyenaraian ini, Pekat akan menerbitkan 138.7 juta saham baharu di dalam Pekat mewakili sebanyak 21.5% modal saham dibesarkan pada harga terbitan RM0.32 sesaham.

 

Daripada 138.7 juta saham baharu, sebanyak 32.2 juta saham baharu (5.0%) akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi cabutan undi; sebanyak 16.1 juta saham baharu (2.5%) untuk Pengarah dan kakitangan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Pekat manakala baki 90.3 juta saham baharu (14%) diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan pelabur terpilih.

 

Sebagai sebahagian daripada langkah penyenaraian, pemegang saham Syarikat sedia adajuga akan menawarkan untuk jualan sebanyak 32.2 juta saham kepada pelabur terpilih menerusi kaedah penempatan persendirian.

 

Berdasarkan modal kerja dibesarkan sebanyak 645.9 juta saham, Pekat djangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM206.4 juta.

 

IPO ini adalah terbuka untuk langgan bermula hari ini sehingga 10 Jun 2021. Salinan prospektus berkaitan penawaran ini boleh diperoleh dari laman web Bursa Securities (www.bursamalaysia.com).

 

Penyenaraian Pekat di Pasaran ACE Bursa Securities dijadualkan sementara waktu ini pada 23 Jun 2021.

 

Pemegang saham terbesar Syarkat merangkumi Encik Chin, Tai Yee Chee  (Pengarah Eksekutif Pekat), Wee Chek Aik (Pengarah Eksekutif Pekat) dan Hextar Holdings Sdn Bhd. Hextar merupakan pemegang saham utama di dalam Hextar Global Berhad yang tersenarai di Papan Utama.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Agen Penempatan bagi proses IPO. - DagangNews.com