KUALA LUMPUR 2 Okt - Pelabur asing berubah menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia dengan menjual ekuiti berjumlah RM44.7 juta selepas dua minggu melakukan pembelian bersih.
MIDF Research berkata, sehingga kini pelabur asing sudah melupuskan ekuiti berjumlah RM1.96 bilion.
"Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih bagi minggu ini ialah utiliti (RM86.7 juta), teknologi (RM34.9 juta) dan hartanah (RM30.7 juta).
"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM75.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM41.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM33.3 juta)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jualan bersih sebanyak RM98.5 juta.
Katanya, sebahagian besar aliran keluar berlaku pada Selasa, serentak dengan keluaran data indeks harga pengeluar (PPI) Malaysia.
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) menunjukkan peningkatan untuk bulan kedua berturut-turut, dengan penguncupan yang lebih perlahan sebanyak -1.8% pada Ogos-23 (Jul-23: -2.3%).
"Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih, mengumpul RM2.59 bilion," katanya.
MIDF Research berkata, peruncit tempatan menamatkan jualan bersih mereka selama 11 minggu, membeli ekuiti domestik bernilai RM143.1 juta pada minggu lepas.
Katanya, setakat ini, peruncit tempatan telah merekodkan jualan bersih berjumlah RM622.6 juta.
"Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 3.9% minggu lepas manakala peruncit tempatan dan institusi tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 6.2% dan 9.2%," katanya. - DagangNews.com