Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 4 Nov. - Pasaran di Bursa Malaysia menyaksikan peralihan kelompok pembeli saham tempatan dengan begitu ketara.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula, pelabur runcit mula berpusu-pusu membeli saham tempatan sehingga memonopoli aktiviti pembelian ekuiti Malaysia.
Bagaimanapun, pelabur institusi kembali menjadi pembeli bersih terbesar dengan memburu saham murah sehingga mencecah RM310.1 juta pada minggu lalu berakhir 30 Oktober 2020, walaupun terdapat ketidaktentuan politik.
“Mereka (pelabur institusi) merupakan pembeli bersih sebanyak RM310.1 juta nilai ekuiti di Malaysia berbanding kedudukan jualan mereka sebanyak RM119.4 juta pada minggu sebelumnya berakhir 23 Oktober 2020.
“Kami berpendapat mereka mungkin memburu saham murah selepas pasaran ‘corrected’ (harga saham menurun 10% atau lebih) pada minggu lalu,” kata CGS-CIMB Research dalam laporan aliran dana mingguannya.
Pelabur institusi tempatan kebanyakannya membeli saham Top Glove sehingga mencecah RM141 juta, Hartalega (RM78 juta), manakala mereka menjual saham Supermax (-RM152 juta) dan Comfort (-RM29 juta).
Bagi bulan Oktober 2020, tiga saham yang banyak dibeli oleh pelabur institusi adalah Top Glove, Hartalega dan VS Industry dengan tiga saham yang dijual pula adalah PPB Group, Genting dan Mah Sing.
Dalam masa sama, pembelian pelabur runcit pula merudum 76% berbanding minggu sebelumnya ekoran kebimbangan situasi politik.
“Kami melihat pelabur runcit menjadi pembeli bersih dalam saham berprestasi lebih rendah seperti perkhidmatan kewangan bagi minggu berakhir 30 Oktober.
“Mereka terus mengaut keuntungan dalam sektor penjagaan kesihatan,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com