Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Fokus pelabur ke arah saham kitar (cyclical) atau saham syarikat yang sebelum ini terjejas telah melonjak pasaran di Bursa Malaysia untuk dibuka lebih tinggi.
Setakat 10.02 pagi, KLCI mencecah 1,593.80 meningkat sebanyak 4.11 mata atau 0.26% daripada paras ditutup pada Jumaat lalu, 1,589.69.
Para pelabur mula beralih daripada saham benefisiari COVID-19 seperti sarung tangan getah berdasarkan keyakinan mereka terhadap penemuan vaksin pandemik itu baru-baru ini.
Rakuten Trade Research berkata, prestasi saham sarung tangan getah mungkin tidak menentu hari ini.
“Oleh itu, KLCI akan disatukan (didagangkan dalam lingkungan harga terhad) dengan kecenderungan meningkat dan 1,600 menjadi paras rintangan (resistance) segera,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.
Trend peralihan sama turut berlaku di pasaran Wall Street yang terus menunjukkan peningkatan.
Walaupun kes pandemik COVID-19 global terus meningkat, namun sentimen keyakinan terhadap vaksin pandemik itu akan terus melonjak pasaran.
Selain itu, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah ditandatangani semalam juga menjadi pemangkin kepada pergerakan menaik pasaran saham tempatan.
RCEP melibatkan China dan 14 negara Asia lain termasuk Jepun dan Malaysia untuk merancakkan pemulihan ekonomi selepas terjejas akibat penularan COVID-19.
Menurut Trading Economics, para pelabur mengalu-alukan data ekonomi Jepun yang berkembang buat pertama kali sepanjang empat suku tahunan, pada suku ketiga 2020 (3Q20). - DagangNews.com