KUALA LUMPUR 27 Sept - Kenanga Research percaya bahawa pelabur secara amnya yakin terhadap pelaksanaan model rangkaian dwi borong (DWN) kerana ia mencerminkan persekitaran kawal selia yang lebih sederhana.
Dari segi konsep, DWN seharusnya membantu menyingkirkan monopoli kerajaan ke atas kapasiti 5G dan pelancaran rangkaian 5G kedua yang cekap oleh syarikat telekomunikasi swasta dengan campur tangan yang minimum.
"Bagaimanapun, kami optimis dan berhati-hati terhadap pelaksanaan model DWN ini.
"Sementara itu, bagi perkhidmatan tetap, kami menjangkakan sentimen akan bertambah baik selepas penetapan semula harga pakej jalur lebar runcit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peralihan model rangkaian borong tunggal (SWN) semasa kepada DWN menjelang akhir 2023 dan ia akan berlaku selepas rangkaian 5G sedia ada milik Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai liputan 80% kawasan berpenduduk (COPA).
Bagi memulakan peralihan itu, dua entiti ditubuhkan, iaitu entiti A dan B yang masing-masing akan memiliki DNB dan rangkaian 5G kedua (NW2) yang akan datang.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital (KKMM) Fahmi Fadzil, pemain dalam sektor telekomunukasi (iaitu CDB, MAXIS, TM, U-Mobile dan YTL Communications) akan melaksanakan perjanjian langganan jualan saham tidak lama lagi untuk memuktamadkan pegangan saham mereka dalam DNB.
Berikutan itu, entiti A akan mengambil alih DNB, dan kerajaan akan berhenti menjadi pemegang saham.
Walaupun entiti A akan menyambung semula operasi dan pelaksanaan rangkaian DNB, entiti B akan bermula dari dari bawah. Namun begitu, entiti B mempunyai masa dua tahun untuk mencapai 80% COPA secara progresif.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu
Katanya, komuniti pelaburan berkemungkinan menghargai pendekatan kerajaan semasa yang secara relatifnya lebih dipacu oleh segmen komersial.
"Oleh itu, kami kekal optimis walaupun pelaksanaan DWN, khususnya penubuhan entiti B, mungkin akan berlaku dalam tempoh yang lama," katanya. - DagangNews.com