Pelaksanaan 703 projek kecil di Sabah bantu tingkatkan ekonomi setempat | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan 703 projek kecil di Sabah bantu tingkatkan ekonomi setempat


PUTRAJAYA 3 Jun - Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) telah meluluskan 703 projek kecil di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM29.48 juta pada tahun 2020. 

 

Timbalan Menteri di JPM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang dilantik sebagai agensi pelaksana.

 

Daripada jumlah tersebut, 657 projek telah siap sepenuhnya dengan jumlah pembayaran sebanyak RM22.25 juta telah dilaksanakan. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa projek dalam peringkat pelaksanaan dan berlakunya sedikit kelewatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Peruntukan tersebut dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil khususnya bagi kelas E dan F di luar bandar untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi usahawan kontraktor. Langkah ini adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Antara projek-projek kecil yang dilaksanakan ialah baik pulih jalan kampung, naik taraf jalan kebun, naik taraf jalan kebun, pembinaan jambatan gantung, sistem bekalan air kampung, pembaikan jeti dan penyelenggaraan sistem perparitan.


 
Arthur berkata, ini juga menunjukkan usaha serta keprihatinan Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kerosakan dan kekurangan infrastruktur di Sabah khususnya bagi kawasan luar bandar. 

 

"Kerajaan terus komited untuk mengatasi masalah kerosakan dan pembaikan infrastruktur walaupun dalam keadaan pandemik serta mengalami keadaan ekonomi yang mencabar dan sumber kewangan yang agak terhad," kata beliau.

 

Menurutnya, langkah seperti ini bertujuan bagi membantu merancakkan lagi ekonomi setempat sehingga ke peringkat akar umbi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

"Ini merupakan antara usaha yang dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada Mac 2020 yang telah memberi impak kepada seluruh lapisan masyarakat sehingga hari ini," ujar beliau. - DagangNews.com