Pelaksanaan cukai barangan mewah dijangka jejas industri emas Malaysia - MGA | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan cukai barangan mewah dijangka jejas industri emas Malaysia - MGA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jun - Industri emas Malaysia yang baru pulih daripada kesan pandemik COVID-19 pada 2023, dijangka terjejas semula dalam bentuk cukai barangan mewah (LGT), menurut Persatuan Emas Malaysia (MGA).

 

Presiden MGA, Datuk Louis Ng berkata, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015, serta cukai jualan dan perkhidmatan (sst) pada 2018 mengakibatkan permintaan barang kemas emas menurun.

 

"Eksport barang kemas emas terjejas teruk semasa pandemik COVID-19 dan hanya pulih pada tahun kebelakangan ini sebelum Malaysia akan mengalami kejatuhan lain apabila LGT yang akan datang dikenakan ke atas produk emas.

 

"Ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain emas di Malaysia, bahawa MGA melihat keperluan untuk ia ditangani segera sebelum penguatkuasaan rasmi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, MGA membentangkan perkembangan pasaran emas semasa di Malaysia sempena penganjuran Asia Pacific Precious Metals Conference 2023 (APPMC 2023) di Singapura, baru-baru ini.

 

Menurut Ng, pihaknya telah menyuarakan kebimbangan mengenai LGT kepada kerajaan semasa mesyuarat pada Mac lalu yang dihoskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

Katanya, penglibatan kerajaan menganalisis kesan LGT ke atas aktiviti import dan eksport emas, pembuatan, pemborongan dan runcit seperti jualan domestik dan pelancongan.

 

 

mga
Datuk Louis Ng (kiri) ketika membentangkan perkembangan pasaran emas semasa di Malaysia sempena penganjuran Asia Pacific Precious Metals Conference 2023 (APPMC 2023) di Singapura, baru-baru ini.

 

 

Beliau berkata, permintaan untuk pelaburan emas meningkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kenaikan harga emas, pelaksanaan program sokongan fiskal kerajaan, moratorium pinjaman bank dan sekatan sosial.

 

"Semua ini menyumbang kepada lebih banyak wang tunai untuk pelabur menyimpan emas fizikal.

 

"Bagaimanapun, permintaan emas turun selepas PKP disebabkan oleh pemulihan ekonomi, penurunan dalam sentimen pelaburan, tekanan inflasi dan perubahan dalam pilihan pengguna terhadap perjalanan," katanya.

 

Tambah beliau, kerajaan disaran menggalakkan agensi berkaitan mengambil bahagian dalam persidangan emas ini dalam masa terdekat untuk memastikan negara mendapat maklumat secara langsung industri tersebut. 

 

"Ini bukan sahaja membantu dalam merumuskan dasar kerajaan yang berkesan untuk menggalakkan masa depan lebih baik untuk industri emas tempatan kita, tetapi juga memastikan bahawa negara kita kekal berdaya saing dalam arena emas global," katanya. - DagangNews.com