Pelan pemulihan negara disaran laksanakan moratorium menyeluruh | DagangNews Skip to main content

Pelan pemulihan negara disaran laksanakan moratorium menyeluruh

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pertubuhan bukan kerajaan, Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) meminta Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam, memberi perhatian khusus kepada setiap sektor ekonomi yang masih ditutup atau memerlukan masa untuk dibuka mengikut fasa yang dicadangkan.

 

Presiden GEM, Armin Baniaz Pahamin berkata, kemungkinan besar sektor tersebut akan gulung tikar sebelum negara masuk ke fasa seterusnya.

 

Menurut beliau, sehingga imuniti kelompok (herd immunity) dicapai atau sehingga sektor-sektor dibuka,
moratorium menyeluruh atau blanket moratorium perlu disediakan.

 

"Moratorium ini tidak memerlukan peruntukan bajet tambahan dari kerajaan dan patut disegerakan," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Armin Baniaz berkata, bantuan juga perlu disediakan kepada peniaga kecil dan PKS yang tidak dapat beroperasi sehingga nilai ambang dicapai untuk maju ke fasa-fasa seterusnya.

 

Beliau berkata, antara bantuan yang boleh ditawarkan seperti bantuan pengurangan sewa untuk pejabat, kedai, kediaman sekurang-kurangnya 30%.

 

"Kerajaan juga boleh melaksanakan pengurangan bil TNB sebanyak 50%. Umum sedia maklum kenaikan bil lektrik yang mengejutkan semasa PKP 1.0 dahulu.

 

"Pilihan untuk mengeluarkan wang KWSP supaya dapat membantu orang ramai untuk menampung sara hidup, memulakan perniagaan baru atau menjalani kehidupan selepas selesai PKP.

 

"Program Kupon Makanan bantu PKS, pengusaha mikro seperti saranan awal Parti Pejuang boleh digunakan untuk membuat pembelian daripada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar dan penerima bantuan kewangan melalui Geran Khas Prihatin (GKP)," ujar beliau.

 

Armin Baniaz berkata, oleh kerana sektor-sektor yang terjejas bergantung sepenuhnya diatas kebolehan
kerajaan untuk mencapai sasaran nilai ambang di setiap fasa, bantuan yang diminta oleh industri wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya. - DagangNews.com