Pelan Pemulihan Negara Harus Utamakan Sektor Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara Harus Utamakan Sektor Ekonomi


KUALA LUMPUR 16 Jun - Persatuan Perusahan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) menyambut baik pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri. Pelan tersebut menggariskan kriteria dan fasa-fasa pembukaan aktiviti ekonomi berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datul William Ng berkata, negara telah ‘kehilangan’ dua tahun akibat wabak ini. Sebarang pemulihan mungkin mengambil masa lebih dari satu dekad sebelum negara dapat kembali kepada kadar pertumbuhan ekonomi sebelum kemelut pandemik ini.

 

Menurutnya, sebarang pelan pemulihan harus merangkumi strategi untuk menghadapi norma baru, meningkatkan produktiviti dan daya saing rakyat dan sektor ekonomi negara, dan memperkenalkan struktur ekonomi baru yang diperlukan untuk menghadapi cabaran akan datang.

 

Oleh itu kata beliau, penting bagi kerajaan untuk mengambil kira pendapat dari semua segmen masyarakat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Katanya, pelan pemulihan negara harus mengutamakan kelangsungan hidup serta pemulihan dan pertumbuhan sektor ekonomi negara.

 

"Kita tidak boleh menang dalam perang melawan COVID-19, tetapi kalah dari segi ekonomi pasca-pandemik.

 

"Kami yakin Perdana Menteri telah mengambil kira keperitan yang dihadapi oleh hampir satu juta PKS ketika ini di dalam mengumumkan Pelan Pemulihan Negara.

 

"Oleh itu, kami berharap beliau tidak akan melepaskan komitmen beliau untuk membuka kembali aktiviti ekonomi seiring dengan penurunan kes-kes harian dan peningkatan kadar vaksinasi," kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

"Sesungguhnya, kami merayu supaya kerajaan membenarkan pembukaan semua sektor ekonomi sebaik sahaja bilangan jangkitan harian menurun di bawah 4,000. Kita tidak harus membezakan perniagaan kepada yang ‘perlu’ dan ‘tidak perlu’.

 

"Sekiranya keadaan cukup selamat untuk membuka semula mana-mana sektor, maka tidak ada sebab mengapa sektor lain tidak boleh dibuka, kecuali jika melibatkan risiko khusus atau penjarakan sosial tidak dapat dilaksanakan," kata beliau.

 

Ng berkata, SAMENTA sekali lagi menyeru semua ahli-ahli persatuan dan PKS lain supaya bertenang, bersabar dan menunggu pertolongan selanjutnya daripada kerajaan. - DagangNews.com