Pelan Pemulihan Negara: SIRIM tawar rebat 20% kepada pengeluar pelitup muka | DagangNews Skip to main content

Pelan Pemulihan Negara: SIRIM tawar rebat 20% kepada pengeluar pelitup muka


SHAH ALAM 16 Jun – SIRIM menawarkan rebat sebanyak 20% kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej perkhidmatan pengujian dan pensijilan, bermula 15 Jun sehingga akhir tahun ini, sebagai satu daripada usaha kerajaan memerangi COVID-19.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, tawaran itu dikelolakan menerus anak syarikat milik penuhnya iaitu SIRIM QAS International dan tertakluk kepada terma dan syarat.

 

Menurutnya, SIRIM akan terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan selain melaksanakan peranan yang telah dimandatkan oleh kerajaan.

 

Dalam konteks ini ujar beliau, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, memberikan strategi yang jelas bagi negara untuk keluar daripada kemelut krisis COVID-19.

 

"Kejayaan pelan itu juga bergantung pada kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pihak industri.

 

“Pematuhan ketat pada SOP dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi telah terbukti berkesan di kebanyakan negara dan kami percaya Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai semula kehidupan normal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Melalui Penyelidikan Perindustrian SIRIM, organisasi ini juga aktif dalam pelbagai kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan berkaitan vaksin COVID-19 termasuklah pengesahan proses pembuatan serta pengujian keselamatan lain yang berkaitan.

 

SIRIM juga memastikan perkhidmatannya meliputi sektor penting ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan memberi perkhidmatan secara jauh. Ini termasuklah melakukan pengujian, pemeriksaan, penentusahan, pengukuran dan pennetukuran untuk menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti produk yang diperbuat dan dijual di negara ini dalam tempoh berkenaan.

 

SIRIM Berhad, anak syarikat Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah organisasi peneraju bagi penyelesaian teknologi dan kualiti yang memberi tumpuan kepada Penyelidikan Perindustrian, Pembangunan Teknologi dan Pengkomersilan; Pensijilan, Pengujian dan Pemeriksaan; Pengukuran dan Penentukuran; Latihan; Penyelidikan dan Pembangunan Standard; Keusahawanan berasaskan Teknologi; dan Perundingan Reka bentuk. - DagangNews.com