Pelancongan perniagaan, MICE jadi tumpuan MOTAC | DagangNews Skip to main content

Pelancongan perniagaan, MICE jadi tumpuan MOTAC

MOTAC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan memberi tumpuan kepada golongan pelancong bersasar meliputi pelancongan perniagaan dan aktiviti MICE (meeting, incentives, conference dan exhibitions).

 

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, pihaknya melalui Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) akan memastikan pelancong perniagaan dan MICE telah melepasi tapisan kesihatan dan bebas COVID-19 selain pematuhan ketat terhadap SOP MICE.

 

"Dalam memastikan kelangsungan acara perniagaan (business events), keselamatan dan kesihatan rakyat adalah juga keutamaan MOTAC pada masa ini ketika negara sedang berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

 

"SOP dan protokol pencegahan penyakit pelancongan perniagaan terhadap pekerja, pembekal barangan dan perkhidmatan serta delegasi/pengunjung mengenai pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan adalah mengikut standard seperti mana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelas MOTAC.

 

Dalam kenyataan sama, MOTAC memberitahu, kumpulan bersasar pelancong perniagaan tersebut akan dipantau dan telah melepasi saringan kesihatan. 

 

Sementara itu, MyCEB dalam kenyataan berbeza hari ini memberitahu, Malaysia diiktiraf dalam Anugerah Kerusi Emas Industri MICE China ke-13 apabila diumumkan sebagai Destinasi MICE Yang Paling Diharapkan keempat pada 2020.

 

MyCEB berkata, ia merupakan pengiktirafan bagi tahun kelima berturut-turut untuk Malaysia sekali gus membuktikan prestasi kukuh.

 

Biarpun melalui tempoh mencabar sepanjang 2020, MyCEB bekerjasama rapat dengan Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) serta Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) untuk merangka prosedur operasi standard yang diluluskan kerajaan Malaysia.

 

Anugerah Kerusi Emas diperkenalkan pada 2007 oleh MICE Magazine di China, penerbitan pelancongan, persidangan dan pameran mewah terkemuka yang menonjolkan China.

 

Anugerah tersebut bertujuan untuk mengiktiraf pasukan dan individu yang menyumbang dengan cemerlang kepada industri MICE China dan peneraju contoh bagi pembangunan industri MICE negara itu. - DagangNews.com