Pelanggan raih manfaat kerjasama MR DIY dan Touch n Go  | DagangNews Skip to main content

Pelanggan raih manfaat kerjasama MR DIY dan Touch n Go 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch n Go, Effendy Shahul Hamid (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong hari ini mengumumkan kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat. 

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - MR DIY Group (M) Berhad dan Touch n Go Group mengumumkan beberapa inisiatif usaha sama strategik dalam memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan melalui saluran-saluran dalam talian dan luar talian. 

 

Selain membawa lebih manfaat dan kemudahan kepada para pelanggan dan pengguna, kesemua inisiatif ini disasarkan untuk memastikan pendekatan pemasaran yang lebih relevan melalui pengkhususan tawaran yang disokong oleh keupayaan data dan analisis.

 

Kini, pembeli boleh menambah nilai kad Touch n Go mereka di semua cawangan MR DIY serta menggunakan Touch n Go eWallet  untuk membuat bayaran bagi pembelian di cawangan dan laman web e-dagang MR D.I.Y. www.mrdiy.com.my. 

 

Selain itu, MR DIY juga merupakan antara rakan kongsi tetap Touch n Go eWallet untuk program kesetiaan eWallet yang dinamakan The Goal Hunter yang mana pengguna boleh menebus baucar MR DIY dan menikmati pulangan tunai di MR DIY.
 

Usaha sama strategik ini melanjutkan lagi usaha kedua-dua syarikat tersebut dan akan menyaksikan MR DIY akan menjadi salah satu ikon utama dalam Touch n Go eWallet yang dikuasakan oleh platform Mini Programme eWallet. 

 

Ini akan membolehkan 16 juta pengguna Touch n Go melihat katalog MR DIY dengan lancar, memesan dan membayar barangan yang mereka inginkan dan mendapatkan khidmat penghantaran untuk pembelian mereka, atau disediakan untuk diambil dari cawangan pilihan mereka. 

 

Inisiatif ini dijangka dilancarkan kepada umum pada suku ketiga 2021.

 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch n Go, Effendy Shahul Hamid percaya MR DIY adalah rakan kongsi yang paling sesuai dan berharap akan dapat memberi penawaran yang lebih hebat kepada pelanggan masing-masing.

 

“Touch ‘n Go dan MR DIY kedua-duanya merupakan jenama kelahiran Malaysia dengan matlamat yang kukuh untuk memberi keutamaan kepada pelanggan.

 

"Dengan tumpuan yang tidak berbelah bagi untuk menghasilkan perubahan dalam kehidupan berjuta-juta pelanggan kami dengan menyampaikan nilai yang hebat di sepanjang rantaian interaksi pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, pihaknya sentiasa mencari cara baharu dan inovatif untuk menjadikan MR DIY lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara. 

 

"Usaha sama dengan Touch ‘n Go adalah langkah yang penting untuk membolehkan pelanggan kami menikmati pengalaman membeli-belah tanpa tunai dan menguntungkan di MR DIY. 

 

"Apa yang lebih penting, ia menjadikan proses membeli-belah menjadi lebih mudah dengan membawakan janji 'Always Low Prices' kami terus ke skrin dan peranti pelanggan," katanya.

 

Sebagai sebahagian daripada inisiatif dalam usaha sama ini, pelanggan MR DIY yang membayar menggunakan Touch n Go eWallet di kedai atau dalam talian akan dapat menikmati promosi dan diskaun menarik untuk memberi lebih ganjaran kesetiaan.
 

Bersempena ulang tahun ketiga pelancaran platform e-dagang MR DIY www.mrdiy.com.my, pelanggan bakal menikmati lebih banyak manfaat dan ganjaran dalam beberapa bulan akan datang hasil usaha sama strategik ini dan bersempena ulang tahun ketiga pelancaran platform e-dagang MR DIY www.mrdiy.com.my

 

Usaha sama antara Touch n Go Group dan MR DIY ini juga akan dilanjutkan ke kedai-kedai MR DOLLAR dan MR TOY. 

 

Selain itu, kedua-dua syarikat ini telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan meneroka cara terbaik untuk membuat sumbangan dari aspek sosial dan menyumbang semula kepada komuniti sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat mereka. - DagangNews.com