PASIR SALAK 3 Julai - Hari ini dirasakan cukup bertuah bagi Nurul Amira Mohd. Mahir Affandi, 23, apabila dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini.
Jika selama ini hanya melihat pemimpin nombor satu negara itu di kaca televisyen dan dada akhbar, gadis ini akhirnya berpeluang bersalaman dengan Ismail Sabri semasa mengadakan kunjungan ke gerai pameran.
Katanya, kehadiran Perdana Menteri pada program tersebut memberi makna besar pada para pengunjung khususnya golongan muda seperti beliau.
"Saya memang menantikan kunjungan Perdana Menteri kerana tahu sebagai pemimpin negara, beliau mempunyai jadual yang padat," ujarnya.
Rasa teruja turut disuarakan rakannya, Nurain Syafiqah Mohd. Azmi, 23, dan Nurul Najjua Waffa, 24, yang menyifatkan Perdana Menteri mempunyai keterampilan yang dikagumi.
Bagi Nurain Syafiqah, menjadi Perdana Menteri bukan tanggungjawab mudah tetapi Datuk Seri Ismail Sabri telah melaksanakan tugasnya dengan baik.
"Saya lihat banyak inisiatif yang diperkenalkan beliau bertujuan memberi manfaat pada rakyat, apatah lagi pada generasi muda seperti saya.
"Kita beruntung mempunyai seorang Perdana Menteri yang sangat mengambil berat tentang hal rakyat, apatah lagi dalam situasi kenaikan harga barang ketika ini," katanya.
Pegawai Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmadi Ahmad Hanapiah berkata, penduduk Kampung Gajah dan kawasan sekitarnya bertuah apabila Ismail Sabri datang melihat sendiri suasana masyarakat luar bandar di situ.
"Kali pertama melihat Perdana Menteri secara berhadapan, beliau begitu mesra dengan rakyat.
"AKM juga sebenarnya menjadi medan untuk pemimpin negara dan negeri turun padang bertemu rakyat selain mendengar permasalahan mereka," ujarnya.
Sementara itu, pengunjung dilihat terus berpusu-pusu hadir pada hari ketiga AKM di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah kerana tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkan pelbagai tawaran jualan dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan.
Sehingga pukul 2 petang tidak kurang 8,000 pengunjung hadir pada hari terakhir AKM dan pihak penganjur menjangkakan angka 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari AKM dapat dicapai. - DagangNews.com