Pembaca berita TV Sarawak peraga pakaian tradisional sempena Hari Gawai | DagangNews Skip to main content

Pembaca berita TV Sarawak peraga pakaian tradisional sempena Hari Gawai

Pembaca berita TVS, Jessica Chung mempesonakan penonton saluran 122 dengan pemakaian baju tradisional bersempena Hari Gawai yang disambut di Sarawak hari ini.


 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Para penonton TV Sarawak saluran 122 Astro dan myFreeView terpesona dengan peragaan pakaian-pakaian tradisional oleh pembaca-pembaca berita stesen televisyen itu bersempena perayaan Hari Gawai yang disambut di negeri itu, hari ini.

 

Para pembaca berita yang berketurunan Iban seperti Jessica Chung, Priscilla John, tampil anggun dengan pakaian Ngepan Iban manakala Steward Dawi dan Emmanuel Reuben Gomes berpakaian Baju Burung semasa menyampaikan berita dan poster perayaan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group, Suhaimi Sulaiman berkata, pemakaian baju tradisional itu adalah sebagai penghormatan TVS bersempena sambutan Hari Gawai yang disambut di negeri itu.

 

"Kami berbangga dengan warisan tradisi kita. Pembaca berita atau anchors TVS kami memperagakan pakaian tradisional pada hari pertama dan kedua perayaan Hari Gawai dalam pelbagai bahasa," katanya dalam kenyataan di laman rasmi TVS.

 

TVS adalah stesen televisyen milik kerajaan negeri Sarawak yang bersiaran 24 jam dan dirasmikan pada 10 Oktober 2020, menyajikan berita yang disampaikan di dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Mandarin.

 

 

TVS
Suhaimi Sulaiman, CEO Sarawak Media Group

 

Hari Gawai disambut setiap 1 Jun oleh komuniti Dayak di Sarawak terdiri daripada kumpulan etnik Iban, Bidayuh, Kenyah, Orang Ulu, Kelabit, Penan dan beberapa lagi, serta merupakan hari cuti umum di negeri tersebut. Perayaan kali ini cukup sederhana berikutan pandemik COVID-19, sama seperti semua perayaan agama dan kaum lain sejak tahun lalu. 

 

Sementara itu, pakaian tradisional Iban terdiri daripada berikut:

 

KAIN SIRAT (Untuk lelaki)

Kain Sirat atau kain cawat adalah pakaian asas kaum Iban. Sirat adalah sebidang kain yang berukuran 50 cm X 500 cm. Bahagian hujung kain ini dihiasi dengan sulaman atau tenunan yang indah. Kadang-kadang manik dan kulit siput turut dikarangkan sebagai hiasan di bahagian itu. Sirat dipakai dengan cara melilitnya dipinggang dan celah kangkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan; mempamerkan bahagian yang berhia.


DANGDONG

Ia merupakan kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Dandong lebih lebar daripada bedong. Panjang dandong tidak tetap kerana kain ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara-upacara tertentu. Dandong diperbuat daripada kain yang ditenun dengan cara ikat.

 

 

TVS

 

 

BIDANG (Untuk wanita)

Wanita Iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain sarung ini sempit dan panjangnya cuma lebih kurang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kian yang berukuran 110 cm x 60 cm dan terdiri daripada dua bidang kain seumpamanya yang dicantumkan. Bidang yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya.

 

Kebiasaannya bidang ini hanya dihias oleh reka corak jalur-jaluran yang bewarna-warni. Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu atau sebarang perayaan pula dihiasi oleh pelbagai reka corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Malah ada diantara bidang tersebut yang dihiasi dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang bewarna merah.


KALAMBI
 
Baju Kaum Iban yang dipanggil kalambi pula ada dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Kalambi dipakai oleh lelaki dan wanita Iban ketika upacara tertentu sahaja. Potongan kalambi sangat ringkas iaitu terdiri daripada sebidang kain segi empat bujur yang dilipat dua. Sisinya dicantumkan dan ditinggalkan ruang untuk lubang lengan atau ambungan lengan.

 

Panjang kalambi berbeza-beza iaitu ada yang separas punggung dan ada yang labuh hingga ke lutut. Kalambi ditenun dengan segala macam motif yang indah. Terdapat kalambi yang dihias dengan jalur-jalur yang indah dan ada pula kalambi yang dihias dengan jalur-jalur dan setengahnya pula dipenuhi dengan figura-figura roh dan binatang. Kalambi yang dipakai oleh pahlawan juga dilapiskan dengan kekabu sebagai pertahanan. 

 

Ada kalambi yang menggunakan kain yang ditenun dengan cara ikat. Kain ini bermotifkan jalur-jaluran yang menegak, figura manusia dan burung. Semua motif tersebut ditenun dalam bentuk geometrik. Hujung kalambi hasil tenunan ikat ini pula dibiarkan berjumbai, berpintal atau dihias dengan karangan manik. - DagangNews.com