Pembangunan HSR, Zon Ekonomi Johor-Singapura dijangka beri limpahan kepada bank tanah UEM Sunrise di Nusajaya, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pembangunan HSR, Zon Ekonomi Johor-Singapura dijangka beri limpahan kepada bank tanah UEM Sunrise di Nusajaya, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan pembangunan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan Zon Ekonomi Khas (SEZ) antara Johor-Singapura memberi limpahan kepada bank tanah UEM Sunrise Berhad seluas 996 hektar di Gerbang Nusajaya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek HSR bagaimanapun masih dalam peringkat cadangan dan keputusan mengenainya mungkin mengambil sedikit masa sebelum dilasakanakan.

 

"Kami melihat, kumpulan itu berupaya untuk mengewangkan bank tanahnya di Gerbang Nusajaya dalam tempoh kurang tiga bulan dan momentum jualan yang lebih kukuh daripada jangkaan di pasaran domestik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada separuh pertama 2023, 64% daripada pelancaran baharu adalah di Kuala Lumpur dan hanya 4% di Johor.

 

Begitu juga, daripada jualan hartanah baharu bernilai RM1,490 juta yang didaftarkan pada separuh pertama tahun ini, 59% (RM874 juta) daripada jualan itu dikaitkan dengan penjualan tanah dan pembangunan secara menyeluruh di Melbourne kepada GS Collingwood Property Trust. 

 

Tidak termasuk penjualan tanah dan pembangunan Collingwood, kumpulan itu hanya mencatatkan RM616 juta jualan hartanah baharu di dalam negara pada separuh pertama 2023, didorong oleh pelancaran di Kuala Lumpur – The Connaught One dan The MINH.

 

"Berbanding dengan rakan setaranya, jualan UEM Sunrise dari pasaran domestik adalah antara yang terendah pada separuh pertama 2023," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'kurang' tetapi pada harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 75 sen sesaham berbanding 41 sen sebelum ini. - DagangNews.com